Khamis, November 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    KTK 2025 diadakan hingga 30 November

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi sedang mengendalikan Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2025 seluruh negara pada 3 hingga 30 November ini.

    Antara lain tujuan KTK ini adalah untuk mengumpulkan maklumat terkini mengenai saiz, struktur, taburan dan ciri-ciri tenaga kerja, pekerjaan, pengangguran dan lain-lain ciri-ciri ekonomi penduduk.

    JPES dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, hasil kajian ini akan digunakan dalam membantu perancangan dan penggubalan dasar yang berkesan dalam memperkukuh pasaran kerja dan ekonomi negara.

    KTK 2025 dijalankan di bawah Akta Perangkaan, Penggal 81 dari Undang-undang Negara Brunei Darussalam.

    Sehubungan itu, JPES memberikan jaminan kepada semua isi rumah terpilih yang diliputi dalam kajian ini bahawa maklumat yang dikumpulkan akan disimpan sulit dan akan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja.

    Pegawai kajian JPES sedang menjalankan KTK 2025. – GAMBAR SERAHAN JPES

    Menurut Seksyen 9 Akta Perangkaan, kegagalan atau keengganan untuk memberikan maklumat yang diperlukan atau memberikan maklumat palsu menjadi satu kesalahan yang membawa hukuman denda sebanyak $4,000.

    JPES turut mengingatkan bagi memastikan keselamatan orang ramai, sila sahkan identiti pegawai kajian JPES seperti mereka memakai pas kajian yang memaparkan logo JPES, gambar, nombor kad pengenalan dan nama pegawai kajian.

    Selain memakai ves rasmi yang memaparkan nama JPES, mereka perlu mengemukakan surat lantikan rasmi yang mengesahkan mereka dilantik oleh JPES untuk melaksanakan kajian dan mengemukakan surat makluman rasmi dari JPES yang menerangkan tujuan kajian serta tidak akan meminta sebarang wang atau bayaran, kata laluan peribadi atau butiran akaun bank.

    Untuk sebarang pertanyaan atau pengesahan pegawai kajian JPES, sila rujuk melalui talian telefon dan WhatsApp di 7469844 pada hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu pada pukul 7:45 pagi hingga 4:30 petang, atau email ke labourforce.survey@jpes.gov.bn, atau layari laman sesawang di deps.mofe.gov.bn.

    Sokongan dan kerjasama daripada semua isi rumah terpilih semasa KTK 2025 adalah penting bagi menghasilkan perangkaan tenaga kerja yang tepat, yang merupakan asas kepada perancangan yang berkesan serta pembangunan dasar pasaran tenaga kerja yang menyokong kemajuan negara.

    Dengan menyertai kajian ini, awda menyumbang kepada pasaran tenaga kerja yang lebih kukuh dan berinformasi untuk manfaat semua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda