KUALA LUMPUR, 31 MAC – Kualiti aset bank-bank di Malaysia kekal kukuh pada Februari dengan nisbah pinjaman terjejas bersih keseluruhan terus stabil pada 1.0 peratus, menurut Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Sorotan Bulanan Februari 2020 yang dikeluarkan hari ini.
Ia berkata bank-bank terus mempunyai penampan yang mencukupi untuk menghadapi kemungkinan kerugian kredit dengan jumlah peruntukan (termasuk rizab pengawalseliaan) pada 125.1 peratus daripada jumlah pinjaman terjejas.
“Pada Februari, pertumbuhan pembiayaan bersih adalah lebih tinggi, iaitu 5.0 peratus berbanding Januari pada 4.7 peratus, didorong pengembangan pinjaman terkumpul yang lebih cepat sebanyak 3.9 peratus. Pertumbuhan bon korporat terkumpul juga meningkat sedikit kepada 8.2 peratus (Januari: 8.0 peratus).
“Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat kepada 3.6 peratus daripada Januari pada 2.5 peratus dise-babkan terutamanya bayaran balik lebih rendah, yang mencerminkan parasnya yang tinggi pada bulan-bulan kebelakangan ini telah kembali ke paras normal,” menurut bank pusat.
BNM berkata pengeluaran juga pada amnya mampan pada bulan itu. – Bernama