Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) diharap akan dapat terus menumpukan usaha bagi meningkatkan kualiti guru melalui sokongan dasar dan program pembangunan kapasiti.
Ke arah itu, sudah tiba masanya untuk Kementerian Pendidikan dan KHEU sama-sama memperkasakan lagi dasar pendidikan negara.
Perkara tersebut ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda semasa Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-33, Tahun 2023 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
Selain itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut memperkenankan pindaan ke atas Akta Pendidikan Wajib Penggal 211 yang berkaitan dengan umur wajib kanak-kanak bersekolah di negara ini.
“Pindaan daripada umur enam tahun kepada lima tahun itu adalah untuk mengukuhkan lagi pendidikan awal kanak-kanak yang merupakan aspek utama dalam membina asas keupayaan kognitif, aspek sosial dan emosi kanak-kanak,” titah Baginda.


Sementara itu, Baginda turut memperkenankan bagi mata pelajaran Teknologi, Kejuruteraan dan Seni dalam komponen Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) dijadikan sebagai salah satu mata pelajaran pilihan teras.
“Ini diharapkan akan dapat mendukung sistem pendidikan yang berkualiti tinggi selaras dengan keperluan mengikut perubahan dan perkembangan semasa,” titah Baginda lagi.
Tema sambutan Hari Guru ke-33, ‘Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan’ merujuk kepada peranan guru selaku pengemudi dan pencetus kemajuan di masa hadapan.
Kemajuan yang dimaksudkan lebih tertumpu kepada melahirkan insan-insan yang berilmu dan berkemahiran dan untuk melahirkan insan yang berkualiti itu, titah Baginda, tentu sahaja memerlukan guru yang berkaliber dan inovasi.
Baginda turut menyentuh mengenai kepentingan kemahiran STEAM yang sebelum ini Baginda timbulkan, yang mana kemahiran STEAM ini dapat meningkatkan pemikiran kreatif dan inovatif pelajar, sekali gus dapat mempersiapkan untuk menghadapi dunia yang semakin kompleks.
“Beta gembira mengetahui bahawa penekanan kemahiran STEAM bukan sahaja dilaksanakan dalam kurikulum biasa, malah juga diintegrasikan dalam aktiviti kokurikulum sekolah,” titah Baginda.
Dari aspek inclusivity dan equality pendidikan pula, Baginda menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan dalam memeduli kesejahteraan dan pendidikan pelajar berkeperluan khas di mana Baginda mengambil maklum mengenai penubuhan Sekolah Khas pertama di negara ini.
Menurut Baginda, penubuhan ini tidak syak lagi telah berjaya melakar satu lagi pencapaian dan sistem pendidikan negara dan ia diharap menjadi pemangkin kepada masyarakat secara umum untuk sama-sama memeduli kesejahteraan pelajar berkeperluan khas.
Dengan perubahan dasar dan jangkaan yang semakin besar terhadap tenaga pengajar, Baginda berpendapat sudah tiba masanya untuk pihak berkenaan meneliti dan memperkemaskan Skim Perkhidmatan Pengurusan (SPG).
Selain menambah baik skop dan aliran kerja dalam pemilihan dan pengambilan guru, tegas Baginda, perlu jua pihak Kementerian mengkaji dan pengambilan guru, perlu juga pihak Kementerian mengkaji dan mengiktiraf tugas tambahan yang dipikul oleh guru sebagai sebahagian komponen penting dalam proses penilaian.
Di samping memastikan kesejahteraan para guru, proses penelitian juga perlu mengekalkan kualiti guru-guru berkenaan.
“Kita sama-sama berharap, bahawa apa juga perancangan berkaitan pendidikan akan membawa lebih dekat kepada sasaran matlamat Wawasan Brunei 2035,” titah Baginda.
Baginda turut melihat peranan penting institusi pendidikan teknikal dan vokasional, dan institusi pengajian tinggi dalam pembangunan tenaga manusia atau modal insan dengan memupuk dan mengembangkan kemahiran, kecendurungan, sikap, moral, nilai dan kreatif ke arah melahirkan rakyat yang berdikari dan berguna.
“Semoga segala usaha para guru dalam mendidik anak bangsa akan mendapat ganjaran berlipat ganda daripada Allah SAW,” titah Baginda.
Baginda juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para penerima Anugerah Hari Guru pada tahun ini dan dengan penganugerahan ini akan menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga guru.

