Kualiti, kreatif jadi taruhan berniaga online

Oleh Nurdiyanah R.

Menjadi suri rumah bukan sahaja memberi sepenuh perhatian kepada keluarga, malah dalam masa yang sama, ia mampu menjana pendapatan menerusi perniagaan dalam talian asalkan berpegang teguh dengan pepatah Melayu ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.

Itulah semangat juang dan kegigihan disemat dalam hati oleh salah seorang suri rumah tangga, Dayang Noraisah binti Abdullah Tee dalam meniti dunia keusahawanan makanan dalam talian melalui Instagram dan Facebooknya.

“Minat yang mendalam dalam dunia pembuatan kuih-muih dan masakan ini sejak dahulu lagi, itulah yang menarik hati dan jiwa saya untuk melangkah ke dunia perniagaan dalam talian ini sehingga kini, lebih-lebih lagi dengan adanya suami tersayang yang merupakan salah seorang cef yang sememangnya banyak memberi tunjuk ajar dalam dunia kulinari,” kata Dayang Noraisah semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

Tarikan sentuhan biskut Meringues dan Macarons

Menariknya, salah satu hidangan istimewa yang dihasilkan oleh usahawan wanita dalam talian ini mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan masyarakat di negara ini ialah sejenis pencuci mulut berupa manisan yang sering dikaitkan dengan masakan masyarakat Perancis, Switzerland dan Itali yang lebih dikenali dengan nama biskut Meringues.

Jelas Dayang Noraisah, menghasilkan biskut yang berbentuk comel dan unik itu sememangnya tidak memerlukan bahan-bahan yang terlalu banyak namun secara tradisinya ia diperbuat daripada putih telur, gula dan pewarna makanan.

Menjadi suri rumah bukan sahaja memberi sepenuh perhatian kepada keluarga, malah dalam masa yang sama, ia mampu menjana pendapatan menerusi perniagaan dalam talian asalkan berpegang teguh dengan pepatah Melayu ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, itulah semangat juang dan kegigihan yang tersemat di hati Dayang Noraisah (kiri) dalam meniti dunia keusahawanan makanan dalam talian ketika ditemui penulis bersama ibunya, baru-baru ini.
Antara hidangan istimewa Dayang Noraisah yang lebih dikenali dengan nama biskut Meringues yang pastinya dihasilkan dengan gaya sentuhan kreativiti yang tersendiri.
Dengan gaya keunikan yang tersendiri, Dayang Noraisah juga menampilkan biskut Meringues berbentuk seperti lollipop.
Mochi dengan kelazatan rasa seperti kacang, teh hijau, kacang merah, kelapa dan juga pandan merupakan salah satu tarikan hidangan yang turut ditampilkan oleh Dayang Noraisah.
Selain itu, usahawan wanita yang kini berusia 45 tahun ini turut menampilkan biskut seakan-akan burger berbentuk kecil ala Barat berinti dengan pelbagai rasa dan berwarna-warni yang dinamakan Macarons.

“Meski bahan-bahannya mudah diperolehi, namun ketelitian dalam pembuatannya amat dititikberatkan. Sukatan bahan dan teknik pembentukan serta proses pembakaran dalam ketuhar, semuanya mesti dilakukan dengan penuh dedikasi dan ketenangan. Hal ini amat penting untuk memperoleh hasil biskut Meringues yang cantik dan sedap,” tambahnya dengan penuh keyakinan.

Selain itu, usahawan wanita yang kini berusia 45 tahun ini turut menampilkan biskut seakan-akan burger berbentuk kecil ala Barat berinti dengan pelbagai rasa dan berwarna-warni yang dinamakan Macarons dan juga Mochi dengan kelazatan rasa seperti kacang, teh hijau, kacang merah, kelapa dan juga pandan.

Pentingnya kualiti dan kreativiti tersendiri

Dalam pada itu, Dayang Noraisah turut mengungkapkan bahawa daya kreativiti dan keunikan dalam mempelbagaikan pembuatan hidangan yang menarik, antara aspek penting yang sentiasa dikembangkan dalam menerokai dunia keusahawanan kulinari dalam talian ini.

“Lebih menyeronokkan lagi, dalam menghasilkan sentuhan dalam dunia kulinari sebegini, kita dapat menghasilkan gaya kreativiti dan inovasi tersendiri seperti mempelbagaikan perasa-perasanya dan juga rekaan bentuknya serta diserikan lagi dengan warna yang indah. Inilah yang menjadikannya le-bih istimewa serta keunikan sehingga mampu mencetus trademark yang tersendiri.”

“Sudah semestinya dalam menyediakan masakan, perlulah menitikberatkan kebersihan dari segala aspek tertentu meliputi bahan-bahan resipi termasuklah ramuan yang segar dan begitu juga penggunaan perkakas serta kebersihan diri. Hal ini amat penting dititikberatkan agar kualiti kebersihan makanan sentiasa terjamin untuk para pelanggan dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi.

Mengalirnya jiwa keusahawanan

Semangat keusahawanan dalam diri usahawan wanita ini sememangnya telah mengalir sebati dalam jiwa dan hatinya sejak beliau di zaman remaja lagi di mana kedua ibu bapanya merupakan insan-insan tercinta yang turut aktif menjalankan perusahaan tanaman bunga-bungaan dan sayur-sayuran pada suatu ketika dahulu.

“Merekalah pencetus semangat juang saya sehingga kini. Daripada mereka saya mengenal erti hidup berdikari dan tidak berputus asa dalam mencari rezeki yang halal,” katanya, tersenyum mengimbas kenangan terindah bersama insan-insan tersayang.

Keikhlasan niat menjadi keutamaan

Walaupun terlalu banyak persaingan dalam dunia perniagaan ini, namun Dayang Noraisah yakin dan percaya rezeki itu datangnya daripada Allah SWT selagi kita berusaha dengan penuh keikhlasan dan kerendahan hati, di samping menitikberatkan kualiti produk dengan sebaik-baiknya.

“Niat yang ikhlas dalam menyiapkan setiap tempahan para pelanggan itu adalah perkara yang terpenting yang sentiasa saya semai dalam hati dan jiwa dalam meniti dunia perniagaan ini.

Semuanya demi mengharapkan keberkatan rezeki dari Allah SWT,” ujar beliau dengan penuh ketulusan yang turut bersyukur dengan sambutan yang amat memberangsangkan daripada orang ramai terhadap pelbagai kulinari yang diketengahkan dalam talian semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata baru-baru ini.