Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kualiti tenaga pengajar asas utama kecemerlangan pendidikan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB) menyeru agar UTB terus meningkatkan kualiti tenaga pengajarnya sebagai asas utama kepada kecemerlangan sistem pendidikan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Konvokesyen UTB ke-12 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas turut menyarankan UTB serta semua institusi pengajian tinggi memberi tumpuan kepada proses pengambilan yang lebih teliti untuk tenaga akademik untuk memastikan kualiti sistem pendidikan tidak melebihi kualiti tenaga pengajar.

    Dalam titah Baginda seterusnya menekankan kepentingan pengambilan akademik yang lebih teliti untuk memastikan mereka yang terpilih benar-benar layak dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

    Pada majlis tersebut, Baginda mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan atas kejayaan mereka, dan berhasrat kejayaan itu akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang.

    Baginda turut menyentuh mengenai Pelan Strategik 2024-2028 UTB yang bakal dilaksanakan dengan visi Univerisiti Global Masa Depan dan misi untuk melahirkan bakat yang tinggi bagi masyarakat yang mampan, global dan berdaya usaha, yang berakar umbi dalam falsafah negara Melayu Islam Beraja (MIB) ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah pada Majlis Konvokesyen UTB ke-12. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH : KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan sijil kepada para graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UTB ke-11 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan beramah mesra bersama para graduan yang diraikan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Pelan Strategik UTB telah memberikan penekanan terhadap pembelajaran cemerlang yang memfokuskan kepada tiga objektif strategik iaitu kualiti pengajaran dan pembelajaran, kurikulum yang diiktiraf di peringkat global dan pengalaman pembelajaran,” titah Baginda.

    Ke arah memastikan tujuan itu, Baginda menasihatkan supaya UTB sentiasa memantau program-program yang ditawarkan agar ianya bukan sahaja relevan dalam memenuhi keperluan semasa, tetapi juga mampu untuk beradaptasi dengan keperluan masa hadapan.

    Baginda Sultan menekankan turut mengambil maklum bahawa kecemerlangan dalam kualiti pembelajaran masih dapat dikekalkan melalui pemendekan tempoh pengajian dari empat ke tiga tahun, di mana kumpulan pertama dalam pelaksanaan perubahan tersebut akan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains, Teknologi dan Perdagangan.

    “Perubahan tempoh pengajian adalah hasil daripada kajian teliti UTB mengenai amalan-amalan terbaik,” tambah Baginda.

    Baginda turut mengalu-alukan pelancaran program baharu, Doctor of Business Administration (DBA) pada Januari 2025, sebagai alternatif kepada PhD dan menekankan signifikan pembelajaran sepanjang hayat dalam membina masyarakat yang berdaya saing.

    Program itu, titah Baginda, memenuhi keperluan action research dalam dunia perniagaan sebenar dengan memperkaya ekosistem penyelidikan melalui intervensi yang dapat diguna pakai dan dapat meningkatkan hasil penyelidikan UTB.

    Selain itu, Baginda turut menekankan keperluan untuk meningkatkan jumlah petikan penyelidikan dengan menyelaraskan penyelidikan UTB kepada amalan terbaik global, termasuk melalui penubuhan Pusat Teknologi Hijau dan Penyelidikan Lestari.

    Baginda juga menyatakan penghargaan terhadap usaha UTB dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan kejayaan institusi tersebut memasuki Times Higher Education Impact Ranking buat kali pertama, di mana UTB akan terus memperkenalkan strategi yang lebih inovatif, terutama melalui agenda pengantarabangsaan termasuk penubuhan Pejabat UTB Global.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda