Tuesday, January 21, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kualiti udara buruk, penduduk disaran WFH

    BANGKOK, 20 JAN – Pihak berkuasa menasihatkan penduduk Bangkok agar berada di dalam rumah ekoran ramalan kualiti udara yang buruk dan tahap pencemaran tinggi hari ini dan esok (20-21 Januari).

    Jurucakap Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) Aekvarunyoo Amrapala berkata tahap pencemaran PM2.5 dijangka mencapai tahap ‘jingga’ yang dianggap berbahaya kepada kesihatan, di kebanyakan kawasan bandar raya itu.

    Beliau menggesa agensi kerajaan, sektor swasta dan penduduk untuk bekerja dari rumah (WFH) sepanjang tempoh itu bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

    “Lebih 80 titik panas kebakaran dilaporkan setiap hari antara 11 hingga 15 Januari dan tahap PM2.5 di 35 atau lebih daerah dijangka mencapai tahap ‘jingga’.

    “Pelaksanaan langkah WFH diharap dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas sekali gus meredakan tahap pencemaran udara di Bangkok,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi BMA hari ini.

    PM2.5 merujuk kepada zarah halus berukuran 2.5 mikrometer atau lebih kecil, yang boleh menembusi jauh ke dalam sistem pernafasan dan menimbulkan risiko kesihatan serius.

    Sesuatu kawasan diklasifikasikan sebagai zon jingga apabila kepekatan PM2.5 berada antara 37.6 hingga 75.0 mikrogram setiap meter padu. Penduduk di kawasan ini dinasihatkan memakai pelitup muka dan mengehadkan aktiviti luar. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda