MANILA, 3 JAN – Beberapa bandar raya Metro Manila menyambut tahun baharu dengan kualiti udara yang teruk, di mana beberapa tempat mencatat tahap pencemaran yang ‘sangat tidak sihat’, menurut data dari Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Asli (DENR).
Berdasarkan data jam 8 pagi dari Biro Pengurusan Alam Sekitar (EMB), kualiti udara di Bandaraya Mandaluyong mencapai nilai indeks kualiti udara (AQI) ‘sangat tidak sihat’ iaitu 260, memandangkan stesen pemantauan di kawasan itu mengumpul tahap tinggi zarah berukuran 10 mikrometer atau kurang (PM10), seperti habuk dari jalan raya berturap dan tidak berturap, yang disebabkan oleh tradisi membakar bunga api dan mercun untuk menyambut tahun baharu.
“Walaupun sebahagian daripada zarah ini boleh disaring oleh badan, ia boleh menyebabkan iritasi kepada mata, hidung dan tekak awda,” jelas DENR dalam satu kenyataan sebelum ini.
Berdasarkan data PM10 yang dikumpul, kualiti udara di bandar Makati dan Pateros adalah ‘sangat tidak sihat’ manakala kualiti udara di Taguig dan Pasig dikategorikan sebagai ‘tidak sihat untuk kumpulan sensitif’ dan ‘sederhana’ di Caloocan City dan San Juan City.
Stesen pemantauan di bandar-bandar lain di Metro Manila, bagaimanapun, tidak beroperasi pada masa tersebut, sementara Quezon dan Valenzuela pula tidak mempunyai ‘stesen’.
Data dari laman web DENR menunjukkan bahawa Makati City, Pasig City dan Pateros bahkan mencapai nilai AQI ambien 1,000 dengan status ‘kecemasan’ pada jam 8 pagi untuk stesen pemantauan yang mengumpul zarah 2.5 mikrometer atau kurang (PM2.5).
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit yang berpangkalan di Amerika Syarikat berkata “zarah halus ini berbahaya kerana ia boleh masuk ke bahagian dalam paru-paru awda – atau bahkan ke dalam darah awda.”
Walaupun kenyataan itu menunjukkan tahap ‘kecemasan’ dalam tiga kawasan, data DENR bukan berwarna merah manggis — penanda untuk kategori kecemasan dalam Perintah Pentadbiran DENR No. 2020-14. – ANN/Philippine Daily Inquirer
