KARPATHOS – “Di sini wanita memerintah!” tegas Rigopoula Pavlidis, sambil memuji kelebihan kampung terpencilnya di pulau Karpathos, salah satu masyarakat matriarki yang jarang ditemui di Greece.
Duduk di meja di seberang bilik sambil melukis ikon agama, suaminya Giannis menganggukkan kepala dengan senyap.
“Suami saya tidak boleh melakukan apa-apa tanpa saya, malah penyata cukainya sekalipun,” Pavlidis tersenyum sambil menyulam pakaian tradisional di dalam bengkelnya.
Berbeza dengan kebanyakan masyarakat patriarki Greece, wanita-wanita Olympos memainkan peranan penting dalam kehidupan kampung.
Terasing daripada bahagian lain pulau Dodecanese, perkampungan lereng bukit yang menakjubkan itu telah menjaga tradisi berusia beratus-ratus tahun, yang telah bertahan melalui Empayar Uthmaniyyah pada abad ke-16 dan pemerintahan Itali pada abad ke-20.






Sehingga tahun 1980an, tiada jalan asfalt yang menghubungkan Olympos.
Antara tradisi yang masih wujud ialah sistem pewarisan zaman Byzantine yang memberikan harta milik ibu kepada anak perempuan sulung, kata ahli sejarah tempatan, Giorgos Tsampanakis.
Rigopoula, tukang jahit, merupakan salah seorang penerima manfaat daripada tradisi itu. Dia mewarisi 700 pokok zaitun daripada ibunya.
“Keluarga-keluarga di sini tidak mempunyai harta yang mencukupi untuk dibahagikan kepada semua anak-anak… dan jika kami meninggalkan harta pusaka kepada lelaki, mereka akan membelanjakannya dengan boros,” katanya.
Wanita di Greece secara tradisinya berpindah ke rumah suami mereka selepas baru berkahwin. Di Olympos, perkara sebaliknya berlaku.
Dan ketokohan wanita juga tercermin dalam nama-nama mereka.
“Anak perempuan sulung mengambil nama pertama nenek sebelah ibu, tidak seperti seluruh Greece, di mana ia mengambil nama nenek sebelah bapa,” kata Tsampanakis.
“Ramai wanita masih menggunakan nama keluarga ibu mereka dan bukan nama suami mereka,” tambahnya.
Peranan wanita di Olympos diperkukuh lagi pada tahun 1950an apabila lelaki di perkampungan itu mula berhijrah untuk bekerja – terutamanya ke Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah – meninggalkan isteri dan anak perempuan mereka untuk menguruskan keluarga dan ladang mereka sendiri.
Tiada pilihan
“Kami tidak mempunyai pilihan selain bekerja tanpa kehadiran lelaki. Ini adalah satu-satunya cara kami untuk bertahan,” kata Anna Lentakis yang berusia 67 tahun ketika dia memetik buah articok di kampung Avlona berhampiran Olympos.
Beberapa tahun yang lalu, Lentakis mengendalikan kedai minum di Olympos. Kini, kedai minuman tersebut telah diambil alih oleh anak sulungnya, Marina.
“Saya tidak tahu sama ada kami adalah feminis awal… tetapi saya suka mengatakan bahawa lelaki adalah ketua keluarga, dan wanita itu lehernya,” kata Marina yang berusia dalam lingkungan 40an.
Anak perempuan Marina, Anna, baru berusia 13 tahun, tetapi dia tahu bahawa suatu hari nanti dia akan meneruskan tanggungjawab.
“Ini adalah warisan nenek saya dan saya akan berbangga menjaganya!” katanya.
Tetapi sistem pewarisan ‘feminis’ ini hanya memberi manfaat kepada anak sulung, kata Alain Chabloz dari Persatuan Geografi Geneva, yang telah mengkaji perkara itu.
“Anak lelaki bongsu terpaksa berhijrah, dan anak perempuan bongsu terpaksa tinggal di pulau ini untuk berkhidmat kepada orang tua. Sejenis kasta sosial tercipta,” katanya.
Giorgia Fourtina, anak bongsu dalam keluarganya dan belum berkahwin, membantu kakaknya yang lebih tua di restoran dan di ladang.
Fourtina tidak merasakan bahawa masyarakat Olympos sangat progresif: “Ia adalah masyarakat kecil di mana seorang wanita bersendirian di kafe tidak disenangi,” katanya.
“Wanita adalah mereka yang mengekalkan tradisi,” kata Yannis Hatzivassilis, seorang pengukir tempatan, yang telah membuat patung ikonik seorang wanita Olympos yang merenung ke laut, menunggu suaminya pulang.
Wanita-wanita tua Olympos secara tradisinya memakai kostum bersulam yang terdiri daripada apron berbunga, tudung dan but kulit.
Pusaka berharga yang merupakan sebahagian daripada mas kahwin seorang gadis, pakaian ini boleh menelan kos sehingga 1,000 euro (AS$1,077) dan memerlukan berjam-jam untuk disiapkan.
Irini Chatzipapa, seorang pembuat roti berusia 50 tahun, adalah wanita Olympos termuda yang masih memakainya setiap hari.
“Saya mengajar anak perempuan saya menyulam, kecuali pada hari cuti, dia tidak memakainya kerana ia tidak sesuai dengan kehidupan moden,” katanya.
Ibunya yang berusia 70 tahun berkata: “Kostum kami menjadi cerita rakyat untuk cuti… Dunia kami semakin menghilang.” – AFP

