Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Program Malam Munajat kali ke-98 yang diadakan secara maya anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) minggu ini mengetengahkan tazkirah yang bertajuk Jalinan Ukhwah Kekuatan Ummah yang disampaikan oleh Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, KHEU, Haji Mohammed Khairul Mu’az bin Haji Sibodaud.
Beliau menyentuh mengenai kepentingan menjaga ukhuwah dan silaturahim yang merupakan tanda kukuhnya perpaduan sesama manusia.
“Kuatnya Islam disebabkan kuatnya ukhuwah sepertimana Rasulullah SAW datang ke Madinah mempersaudarakan sahabat Muhajirin dan Ansar,” tekannya.
Hadir bagi memeriahkan program berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Acara semalam turut mengundang tetamu khas iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan dari Masjid Kampung Belimbing, Subok yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.

Ia juga disertai oleh ahli-ahli Kelab Dzikir, Nasyid dan Tausyeh (KDNDT) Universiti Brunei Darussalam (UBD); guru-guru agama dari Sekolah Ugama Sengkarai, Tutong; ahli jawatankuasa takmir, belia dan jemaah Masjid Kampung Belimbing, Subok dan Masjid Universiti, UBD.
Turut memeriahkan acara ialah para jemaah dari 87 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara, serta warga KHEU bersama ahli keluarga dari kediaman masing-masing.
Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diteruskan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai yang dipimpin oleh Guru Ugama Terlatih, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Awang Sirajul Adli bin Haji Yusop dari Sekolah Ugama Sengkarai.
Acara diikuti dengan bacaan Doa Munajat oleh Penguasa Pelajaran Ugama, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Haji Mohammed Amin bin Haji Tengah.
Sejurus selesai tazkirah, bacaan Selawat Ibrahimiyyah dipimpin oleh Awang Muhammad Izzuddin bin Haji Nor Hisham bersama KDNDT UBD dari Masjid Universiti.
Bagi memberkati acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Pengiran Mohd Akbar bin Pengiran Haji Mohd Sabri dari Masjid Kampung Belimbing.

