MEXICO CITY, 2 JULAI – Pihak pendakwa raya Colombia kelmarin memaklumkan bahawa mayat lapan pemimpin sosial dan agama telah ditemui dalam sebuah kubur besar di bahagian Guaviare di selatan negara itu, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Pejabat pendakwa raya dalam satu kenyataan berkata pencarian segera terhadap lapan pemimpin itu telah dilancarkan pada April selepas laporan mengatakan mereka telah dipanggil oleh barisan Armando Rios, kumpulan serpihan Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) yang beroperasi di kawasan berkenaan.
Siasatan mendapati dua daripada pemimpin itu telah dipanggil pada 4 April manakala enam lagi dipanggil tiga hari kemudian untuk ‘disoal siasat’ mengenai kemungkinan kewujudan atau penubuhan kumpulan jenayah lain di kawasan itu.
“Beberapa hari kemudian, lapan individu berkenaan dilaporkan telah dipindahkan ke sebuah harta tanah terbiar,” kata pejabat pendakwa raya. Kubur besar itu ditemui di kawasan luar bandar di perbandaran Calamar, kira-kira 600 kilometer di selatan Bogota. – Bernama


