Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kuching: Bandar santai, mempesona

    Oleh Melody L.Goh – 

    KUCHING – Terdapat beberapa buah bandar dengan suasana santai di Malaysia tetapi tiada setanding Kuching, Sarawak.

    Bandar tersebut kelihatan seperti George Town di Pulau Pinang dengan sungai yang mengalir di tengah-tengah. Ia juga mempunyai sedikit persamaan dengan suasana Bandar Lama Ipoh (di Perak), tanpa payung berwarna-warni dan lorong-lorong yang mewah.

    Dan sama seperti dua bandar warisan itu, Kuching juga mempunyai banyak mural gergasi yang terletak secara strategik untuk pandangan menyeluruh.

    Namun, tidak seperti George Town dan Ipoh, mural di Kuching tidak menjadi identiti utama bandar itu, sebaliknya hanya berfungsi sebagai penanda arah yang membantu pelancong.

    “Bukankah saya sudah lalu mural ini 20 minit yang lalu?”, mungkin itulah persoalan yang timbul ketika awda meneroka Kuching dengan berjalan kaki.

    Salah satu patung kucing yang terkenal di Kuching. – ANN/The Star
    Sebuah mural berhampiran Jalan Carpenter yang menggambarkan perdagangan lama di Kuching. – ANN/The Star
    Mee kolok menjadi kegemaran penduduk tempatan dan pengunjung di Sarawak. – ANN/The Star
    Salah satu mural yang terdapat pada salah sebuah bangunan. – ANN/The Star

    Pusat bandarnya mesra dengan pejalan kaki, walaupun di jalan yang lebih besar seperti Padungan, Ban Hock dan Tabuan, ia agak selamat untuk berjalan di kedua-dua sisi jalan.

    Namun, terdapat banyak kawasan untuk diterokai, sekiranya awda ingin pergi lebih jauh daripada sekadar kawasan pelancongan. Kuching mungkin terasa seperti sebuah bandar kecil pada mulanya, mungkin kerana ia tidak mempunyai banyak pencakar langit seperti kebanyakan ibu negeri lain di Malaysia, tetapi hakikatnya bandar itu adalah dua kali ganda lebih besar daripada Kuala Lumpur.

    Bagi yang pertama kali ke sana, dua hingga tiga malam sudah memadai untuk mengunjungi tarikan utama seperti Muzium Budaya Borneo, Dermaga Kuching, Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Fort Margherita, Muzium Kucing DBKU, Muzium Sarawak, Carpenter Street dan Gereja Katolik St Peter yang baharu dibuka semula.

    Jika awda ingin memasukkan Taman Negara Bako, Taman Negara Kubah, Gunung Santubong atau Kampung Budaya Sarawak dalam jadual perjalanan, tambahkan satu atau dua hari untuk perjalanan awda.

    Bagi penggemar makanan, Kuching semestinya perlu dikunjungi kerana pelbagai jenis masakan tempatan dan asli boleh didapati dengan mudah di sini. Mulakan dengan Jalan Carpenter, kawasan pelancongan tetapi dengan banyak kedai kopi dan medan selera yang kebanyakannya menjual makanan Cina. Cuba juga mee kolok, laksa Sarawak, kueh chap, mee tomato dan seumpamanya.

    Di Jalan Padungan, awda akan menemui lebih banyak pilihan, serta beberapa kafe gaya Barat. Cari restoran yang menjual makanan Bidayuh dan kedai kopi yang menjual roti tradisional. Ia adalah roti gebu dengan inti manis atau berperisa yang dibakar setiap hari.

    Dermaga Kuching adalah tempat yang perlu awda kunjungi untuk mencari kek lapis yang popular di Sarawak. Terdapat sebuah kedai terkenal yang menjual kek dalam pelbagai perisa dan warna tetapi jika awda mahukan kek dengan rasa dan warna asli, boleh cari di penjual kaki lima.

    Terdapat juga banyak kedai yang menjual cen-deramata di sini. Walaupun ia pada lazimnya tempat tumpuan pelancong, cenderahati yang dijual di kawasan ini sebenarnya agak murah. Kami mencadangkan supaya mendapatkan beberapa beg tenunan, barang kemas tradisional manik dan kain dengan motif tradisional Sarawak.

    Jika awda tidak pergi ke kawasan itu, awda masih boleh mendapatkan cenderahati di lapangan terbang, walaupun pada harga yang jauh lebih tinggi.

    Semasa menerokai Kuching, awda juga boleh bermain ‘bingo patung kucing.’ Bandar tersebut terkenal dengan arca kucingnya, secara rasmi terdapat tiga, tetapi sesetengah perniagaan telah mendirikan patung yang lebih kecil di luar kedai mereka, terletak di kawasan yang berbeza tetapi cukup dekat untuk seseorang menemui kesemuanya dengan berjalan kaki.

    Satu daripadanya di Jalan Padungan turut dihiasi dengan lampu jalan berbentuk kucing.

    Baru-baru ini, platform pelancongan digital Agoda mengeluarkan senarai destinasi musim panas yang paling mesra bajet di Asia dan Kuching berada di kedudukan keenam daripada sembilan. Ia adalah satu-satunya tempat Malaysia dalam senarai.

    Menurut tinjauan, Surabaya di Indonesia merupakan destinasi paling berpatutan musim ini. Terkenal dengan sejarah dan budaya yang kaya, Surabaya adalah pintu masuk ke tarikan lain di Indonesia, Gunung Bromo dan Pulau Madura.

    Ini diikuti Tirupati di India, Hat Yai di Thailand, Dalat di Vietnam dan Iloilo di Filipina.
    Tiga destinasi terakhir dalam senarai ialah Nagoya di Jepun dan Kaohsiung di Taiwan dan Daejeon di Korea Selatan.

    Tinjauan itu berdasarkan tempahan yang dibuat untuk tempoh Jun hingga Ogos 2025, yang biasanya dikenali dalam industri pelancongan sebagai tempoh musim panas, walaupun sesetengah daripada kita sebenarnya tidak mengalami empat musim. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda