Kucing belayar bersama tuan dikuarantin

ROM, 9 JULAI – Kucing juga mesti dikuarantin. Seekor kucing berusia enam bulan bernama ‘Pupi’ yang selamat dalam pelayaran bersama tuan punya warga Tunisia merentasi Mediterranean sebelum mendarat di Lampedusa berada dalam keadaan baik dan akan dijaga, kata datuk bandar pulau itu semalam.

Datuk bandar Toto Martello menulis di Facebook kucing jantan dengan bulu dada warna putih telah menghabiskan beberapa hari di pusat pendatang bersama tuan punya selepas ketibaan mereka menerusi bot di Itali pada 1 Julai.

Ia seterusnya dihantar ke sebuah klinik veterinar untuk pemantauan.

Pihak berkuasa kesihatan wilayah memutuskan kucing itu ‘berada dalam keadaan sihat’ dan tidak menunjukkan simptom penyakit, kata Martello. Namun ia masih perlu diasingkan daripada haiwan lain selama enam bulan di bawah akta kuarantin anti-penyakit anjing gila.

Seorang wanita dari Lampedusa menawarkan untuk menjaga anak kucing itu, kata Martello, yang meluluskan arahan ‘penjagaan’ untuk Pupi. Pendatang dari Libya dan tempat lain di Afrika Utara terus-menerus tiba di pantai Itali, sama ada selepas diambil oleh bot menyelamat kemanusiaan atau dalam kapal kecil mereka sendiri. – AFP