Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kucing bukan sampah

    Semasa memandu di kawasan perumahan pada waktu tengah malam, saya terlihat bungkusan plastik merah jambu di tepi longkang.

    Pada mulanya saya takut untuk membukanya tetapi selepas saya mendengar ada suara kucing yang sudah lemah, terus saya buka dan kelihatan dua ekor anak kucing.

    Semakin banyak isu mengenai kucing yang dibuang oleh individu yang jelas tidak memahami erti kemanusiaan.

    Bukan sekali saya mengalami perkara sedemikian.

    Masalah itu tidak lagi asing. Setiap minggu, pasti ada kes kucing yang ditinggalkan di tempat awam contohnya pasar, taman perumahan atau di tepi jalan.

    Gambar Freepik

    Lebih menyedihkan, haiwan malang itu sering kali cedera, tidak sihat atau kelaparan terutama kucing jalanan.

    Orang yang bertindak begitu mungkin terlupa bahawa kucing juga punya perasaan, ada hak untuk hidup dengan baik.

    Apa yang lebih mengejutkan, ada antara mereka yang melakukannya dengan alasan remeh, seperti ‘tidak mampu menjaga’ atau ‘kucing itu terlalu banyak masalah’.

    Pihak berkuasa dan masyarakat juga perlu menyedari bahawa isu itu bukan masalah kecil.

    Hukuman dan denda yang lebih berat wajar dikenakan kepada mereka yang terlibat dalam pembuangan kucing secara sewenang-wenangnya.

    Di samping itu, pendidikan berkenaan pemeliharaan haiwan secara bertanggungjawab harus digiatkan, bukan sahaja di sekolah, malah di media arus perdana. Kesedaran awam perlu diperkukuh, agar setiap individu faham bahawa kucing, makhluk bernyawa itu berhak dilayan sebaiknya.

    Sebagai masyarakat, kita juga tidak boleh sekadar melihat dan mendiamkan diri.

    Melaporkan kes-kes pembuangan haiwan kepada pihak berkuasa atau organisasi kebajikan haiwan adalah langkah kecil, tetapi penting. Jika tidak, kita mungkin akan terus menyaksikan lebih banyak kucing terbiar dan menderita di tangan mereka yang tidak berperikemanusiaan.

    KittyLover

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda