Wednesday, September 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kucing obes tidak dapat berjalan, diselamatkan

    PERM, 12 SEPT – Kroshik, seekor kucing oren berusia 14 tahun dari bandar Perm di Rusia, tidak berupaya untuk berjalan selepas berat badannya meningkat kepada 17 kilogram (38 paun) akibat terlebih makan.

    Menurut Oddity Central, gambar Kroshik yang gemuk itu menjadi tular minggu lepas selepas dikongsi dalam rangkaian media sosial Rusia, VKontakte, oleh sukarelawan
    di Pusat Perlindungan Haiwan Matroskin di Perm.

    Dalam gambar tersebut, seorang wanita kelihatan bergelut untuk menggendongnya, memandangkan beratnya tiga kali ganda dari berat yang sepatutnya.

    Menurut kakitangan Matroskin, Kroshik telah diselamatkan dari sebuah hospital tempatan selepas kakitangannya menghubungi mereka apabila kucing berusia 14 tahun itu hilang upaya untuk berjalan akibat berat badannya dan usia yang lanjut.

    Kroshik tinggal di ruang bawah tanah hospital selama bertahun-tahun, memburu tikus dan dibelai dengan penuh kasih sayang, tetapi dalam beberapa tahun terakhir, berat badannya meningkat akibat terlebih diberi makan.

    Seorang wanita kelihatan bergelut untuk menggendongnya, memandangkan beratnya tiga kali ganda dari berat yang sepatutnya. – Agensi

    Apabila beratnya mencapai tahap di mana kucing itu tidak dapat berdiri dengan keempat-empat kakinya, jururawat di hospital menghubungi pusat perlindungan haiwan.

    Selepas memeriksa kucing itu, doktor haiwan menentukan bahawa berat idealnya adalah antara lima hingga tujuh kilogram, tetapi Kroshik kini beratnya mencapai 17 kilogram, menjadikannya obes teruk.

    Kucing tersebut telah diletakkan dalam program penurunan berat badan yang drastik dan doktor menganggarkan bahawa kucing itu akan mula kehilangan antara 85 hingga 170 gram setiap minggu dalam usaha untuk mencapai berat badan normal.

    Selain daripada mengehadkan pengambilan kalori, penjaga baharu Kroshik juga cuba membuatnya membakar kalori dengan membuat improvisasi treadmill air untuknya di dalam tab mandi kecil.

    Kroshik dilaporkan seekor kucing pemarah yang nampaknya membenci air, tetapi malangnya Kroshik tidak mempunyai pilihan selain mematuhinya dengan harapan kucing obes itu akan kembali berdiri, secara harfiah, dalam masa beberapa bulan lagi. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda