Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kucing sebagai terapi senaman?

    SINGAPURA – Teo Kok Leng seorang yang jarang bercakap, tetapi kucing sentiasa menyukainya.

    Jumaat lalu, dia duduk membelai seekor kucing dan mengusap telinganya, sementara kucing itu meregangkan badannya dengan selesa.

    “Saya suka kucing dan anjing, ia sungguh comel,” kata lelaki berusia 47 tahun itu sambil tersenyum.

    Selepas diserang angin ahmar, tangan kanan Teo menjadi lemah, tetapi dia boleh menggunakan tangan kirinya untuk membelai si bulus.

    Dia merupakan salah seorang penghuni Rumah Jagaan Kesihatan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) (Chai Chee) yang dapat bermain dengan 13 ekor kucing sebagai sebahagian daripada program untuk membantu meningkatkan mobiliti penghuni.

    Membelai dan mengusap kucing boleh mempertingkat pergerakan sendi, sementara mengangkat dan mendukung kucing adalah bersamaan dengan senaman menguatkan otot. – Gambar ANN/The Straits Times
    Digelar Purrs for Hearts, program itu membantu merangsang mobiliti penghuni pusat rumah jagaan. – Gambar ANN/The Straits Times
    Apabila penghuni membongkok ke depan untuk membelai kucing, ia mempertingkat keseimbangan dan daya toleransi duduk mereka. – Gambar ANN/The Straits Times

    Dipanggil Purrs for Hearts, program itu dilancarkan di NTUC Health Nursing Home (Jurong West) pada 28 Jun.

    Dianjurkan oleh kafe kucing Wildflower Studio, program bulanan itu membimbing penghuni yang mempunyai masalah pergerakan, seperti orang yang menjalani amputasi dan warga tua yang terlantar di katil, untuk memberi makan, mendukung dan bermain dengan kucing menggunakan mainan.

    Program itu sedang diuji di dua rumah jagaan itu sehingga Disember.

    Kucing-kucing itu dibawa ke pusat berkenaan oleh Volkswagen Singapore.

    Siti Zubaidah, ahli fisioterapi kanan di rumah Chai Chee, berkata walaupun anjing dan kuda sering digunakan dalam aktiviti haiwan, kucing boleh memainkan peranan penting apabila penghuni berasa takut akan haiwan besar atau tidak dapat berinteraksi dengan anjing atas sebab-sebab agama.

    Pengarah pusat rumah Chai Chee, Jack Sim berkata penghuni teruja dengan sesi itu, terutama mereka yang pernah memiliki atau bermain dengan kucing.

    Menurut Siti, membelai dan mengusap kucing boleh meningkatkan pergerakan sendi, manakala mengangkat dan mendukung kucing diibaratkan sama dengan senaman menguatkan otot yang dijalankan dalam sesi fisioterapi.

    Berinteraksi dengan kucing juga boleh menawarkan rangsangan deria, terutamanya untuk mangsa strok.

    Walaupun kucing berkeliaran dan merayau-rayau di sekitar bilik, mengikut pergerakan haiwan berkenaan dengan menggerakkan mata membolehkan penghuni melakukan senaman mata dan leher mereka. Ia juga boleh memberi manfaat kepada penghuni yang mengalami gangguan pergerakan mata akibat strok.

    Siti berkata ramai daripada penghuni di rumah itu menghabiskan masa mereka berbaring di atas katil, jadi berinteraksi dengan kucing membantu mereka yang mempunyai pergerakan terhad dengan kemahiran saraf motor mereka, kerana ia mendorong mereka untuk bergerak, berbanding dengan gelung dan bola.

    Apabila mereka membongkok ke hadapan untuk membelai kucing, ia meningkatkan keseimbangan dan daya toleransi duduk mereka.

    Aktiviti sedemikian boleh melibatkan mereka yang kurang bergerak dan lebih bergantung pada orang lain, dan menawarkan mereka peluang untuk berinteraksi antara satu sama lain.

    Mariam Abdul Hami, yang mengalami kegagalan buah pinggang dan demensia, pernah mempunyai empat ekor kucing, tetapi memberikannya kepada rakannya.

    Selepas mendukung seekor kucing pada Jumaat lalu, wanita berusia 80 tahun itu berkata: “Yang ini mengingatkan saya kepada kucing saya, kesemuanya suka dimanjakan.”

    Manakala Elsha Loh, 23, seorang sukarelawan pada sesi itu, mengongsikan mengenai seorang penghuni yang mengalami demensia, “Saya terkejut kerana mereka memberitahu saya dia tidak memahami cara berinteraksi dengan kucing.

    “Tetapi tanpa diberitahu, dia segera pergi dan memberi makan dan membelai kucing-kucing itu. Ia datang secara semula jadi kepadanya.” – ANN/The Straits Times

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda