BELDEN, MISSISSIPPI, 5 OGOS – Seorang lelaki Mississippi berkata kucing peliharaannya membantu menggagalkan satu percubaan rompakan di rumahnya, dan dia terhutang budi kepada kucingnya kerana menyelamatkan nyawanya.
Bandit, kucing seberat 9.1 kilogram, tinggal bersama tuannya Fred Everitt di pinggir bandar Tupelo di Belden.
Ketika dua perompak cuba memecah masuk rumah yang dikongsi mereka minggu lalu, kucing itu melakukan segala-galanya untuk memberi amaran kepada Everitt, beritahunya kepada Mississippi Daily Journal.
“Awda sentiasa mendengar mengenai anjing pengawal,” kata Everitt, 68. “Ini adalah kucing pengawal.”
Percubaan rompakan itu berlaku antara 2:30 dan 3 pagi pada 2 Ogos, kata Everitt. Dia terjaga oleh bunyi ngiau Bandit di dapur. Kemudian, ia meluru masuk dalam bilik tidur, melompat ke atas katil dan mula menarik selimut sambil mencakar lengannya. Everitt tahu ada sesuatu yang tidak kena.
Dia segera keluar dari bilik dan ternampak dua lelaki di luar pintu belakang rumah. Seorang mempunyai senapang patah dan seorang lagi menggunakan tuil besi untuk mengumpil pintunya.
Pada masa Everitt mendapatkan senapang patah dan kembali ke dapur, penceroboh telah pun melarikan diri. Everitt memberitahu akhbar dia tidak menghubungi polis.
“Nasib baik keadaan tidak berubah menjadi konfrontasi. Namun situasi mungkin tidak sama tanpa Bandit.” – AP