Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kucing sering kunjungi jiran, tuannya didenda AS$1,400

    HÉRAULT, 6 NOV – Kucing merupakan haiwan yang gemar mengembara tanpa menghiraukan peraturan manusia; mereka pergi ke mana sahaja yang disukai, pada bila-bila masa, namun tabiat itu kadangkala boleh membawa akibat yang mahal kepada pemiliknya.

    Itulah yang berlaku kepada seorang pemilik kucing dari wilayah Hérault, Perancis, yang terkejut apabila menerima aduan daripada jirannya mengenai kucingnya yang kerap keluar masuk ke kawasan rumah jiran tersebut.

    Memetik laporan Oddity Central, dalam aduan berkenaan, jiran yang tidak didedahkan identitinya itu mendakwa kucing berwarna jingga bernama Rémy telah meninggalkan kesan tapak kaki pada dinding stucco, air kencing di atas selimut tebal dan najis di taman rumahnya.

    Pada Januari lalu, mahkamah berpihak kepada pihak pengadu dan mengenakan denda sebanyak kira-kira AS$1,400 terhadap pemilik kucing berkenaan, Dominique, serta menetapkan hukuman tambahan sekiranya kucing itu melintasi pagar sempadan lagi.

    “Apabila saya menerima notis keputusan mahkamah itu, saya rasa seolah-olah kepala saya dipukul dengan kuat,” kata Dominique kepada akhbar Le Parisien.

    “Sejak keputusan itu diumumkan, saya terpaksa memelihara Rémy di dalam rumah. Dia semakin gemuk dan agresif. Saya tidak berani membiarkannya keluar ke taman kerana bimbang dia akan melompat pagar. Ia seolah-olah dia dijatuhkan hukuman tahanan rumah, satu bentuk pemenjaraan dan hukuman berganda,” katanya.

    Pemilik kucing berusia 70 tahun itu menegaskan bahawa jirannya gagal membuktikan Rémy benar-benar bersalah menceroboh kerana terdapat banyak kucing lain, termasuk kucing jalanan, di kawasan tersebut. Namun, hakim dikatakan tidak mengambil kira perkara itu.

    Malangnya, kisah ini belum berakhir. Dominique telah dipanggil semula ke mahkamah pada Disember ini selepas dilaporkan Rémy sekali lagi melintasi pagar yang sama. Kali ini, dia mungkin berdepan denda tambahan sebanyak AS$2,300 serta penalti harian sebanyak AS$172.

    Pertikaian undang-undang luar biasa itu menarik perhatian kumpulan hak asasi haiwan di Perancis, yang berpendapat keputusan mahkamah berkenaan menafikan naluri semula jadi kucing untuk menjelajah persekitarannya.

    Tahun lalu, kes serupa turut berlaku apabila sepasang suami isteri di Perancis disaman oleh jiran mereka kerana ayam jantan peliharaan mereka berkokok terlalu kuat. – Agensi

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda