COBY baru berada di laman Instagram selama tiga tahun, namun ia sudah mempunyai lebih dari 1.2 juta pengikut. Jumlah itu sudah begitu banyak seperti selebriti terkemuka, namun Coby bukanlah manusia, ia hanya seekor kucing.
Rebecca Schefkind, pemilik Coby, telah mencipta laman Instagramnya itu pada bulan Jun 2015, untuk suka-suka. Ia tidak mengambil masa lama untuk menjadi bahan perhatian orang ramai, terpesona dengan kecantikan matanya yang berwarna kebiruan itu. Selepas pengikutnya mencapai 150,000 hanya dalam beberapa bulan dan syarikat-syarikat pemasaran mula menawarkan makanan kucing percuma padanya untuk promosi, Schfkind mula mengambil serius terhadap Instagram Coby. Kini, ia mungkin telah menjadi kucing yang paling berjaya dalam rangkaian media sosial. Manakala menurut peminatnya pula, ia mungkin kucing paling cantik di dunia ini.
Kucing jenis British Shorthair itu mempunyai bulu berwarna putih menawan, comel dan telinga tajam, namun apa yang paling menarik perhatian adalah mata birunya yang memukau. Anda mungkin tidak bosan untuk merenungnya. Bukan hanya warna matanya yang menarik perhatian, bahkan juga memilik mata berkontur sempurna, seperti memakai celak. Ia pastinya seekor kucing yang tampan. Peminat-peminat kucing pasti tidak puas dengan kecantikan atau ketampanan Coby itu. Ramai daripada mereka itu telah menyatakan sayang mereka terhadapnya dalam ruangan komen Instagramnya.
“Saya sangat menyukai Coby dan saya tidak pernah jemu untuk melihat wajahnya yang begitu menawan dan kecantikan mata kebiruannya itu,” kata salah seorang penulis.
“Boleh post gambar-gambar Coby dengan lebih kerap, kami sangat menyukainya! Buat seorang pencinta kucing, ia adalah kucing yang sangat cantik!” komen peminat lainnya.
Nasib baik untuk peminatnya, Coby baru berusia tiga tahun, jadi mereka pasti dapat menyaksikan gambar-gambar baharunya itu selama bertahun-tahun mendatang. – Agensi