Kuda ceriakan suasana lockdown

FRANKFURT AM MAIN – Setiap pagi Jenny, kuda betina warna putih akan meninggalkan kandangnya untuk berjalan-jalan di kawasan kejiranan Frankfurt.

Membawa senyuman pada wajah penduduk serta trem terhenti, kuda yang merayau-rayau secara bebas itu menceriakan suasana lockdown koronavirus untuk kebanyakan orang.

“Semua orang terpaksa mematuhi sekatan koronavirus tetapi Jenny adalah bebas bagai burung,” beritahu tuan punya Anna Weischedel, 65, kepada AFP.

Selama lebih satu dekad Jenny telah merayau-rayau sendirian di kampung tempatan Fechenheim, kawasan rumput hijau di Frankfurt di tebing sungai Main.

Ia berjalan-jalan di jalan raya, berlari-lari di landasan kereta api menuju ke ladang berhampiran dan menghabiskan berjam-jam meragut rumput di padang.

Jenny, kuda berusia 25 tahun bersedia untuk berjalan-jalan dijaga oleh Anna Weischedel di Fechenheim berhampiran Frankfurt am Main, Jerman. – AFP
Jenny memeriksa sebuah tong sampah ketika dia bersiar-siar di Fechenheim berhampiran Frankfurt am Main, Jerman. – AFP

Kuda kacukan Arab yang disayangi itu, telah pun berusia 25 tahun, sentiasa popular dalam kalangan penduduk. Lebih-lebih lagi dalam beberapa minggu ini.

“Penduduk nampaknya lebih perasan mengenainya disebabkan mereka mempunyai lebih banyak masa sekarang. Ramai orang yang lalu akan mengusapnya, mungkin kerana mereka tidak mempunyai kontak manusia,” kata Anna.

Seperti kebanyakan negara, Jerman telah menutup sekolah, taman permainan dan banyak perniagaan untuk mengawal wabak koronavirus.

Walaupun ia beransur-ansur mula melonggarkan beberapa sekatan lockdown, penduduk masih digalakkan mengehadkan interaksi sosial mereka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Namun tidak adanya peraturan yang dikenakan untuk mereka yang mendampingi Jenny.

“Ia membuat kami amat gembira untuk melihat Jenny, kami merinduinya apabila kami tidak melihatnya semasa kami keluar bersiar-siar,” kata Gaby Marxen, 61, semasa membawa dua ekor anjingnya berjalan-jalan.

Johanna, 8, yang juga membawa anjingnya berjalan-jalan, berkata: “Abang saya dan saya suka membelai Jenny.”

Untuk mengelak sebarang salah faham yang timbul, memandangkan penduduk sebelum ini pernah menelefon polis untuk melaporkan mengenai seekor kuda tanpa berteman, Jenny memakaikan nota yang digantung di lehernya yang berbunyi: “Saya bukan melarikan diri, saya hanya keluar berjalan-jalan.”

Aktiviti bersiar-siar harian itu berakhir sekitar pukul 4 petang, apabila suami Anna berusia 80 tahun, Werner, menunggang e-skuter untuk mencari Jenny di sepanjang jalan yang biasa digunanya dan memberitahunya bahawa sudah tiba masanya untuk pulang.

“Dan ia akan menuju pulang,” kata Werner, seorang pemilik kedai bunga yang sudah bersara.

Sepanjang aktiviti berjalan-jalan beberapa tahun ini, Jenny tidak pernah menimbulkan masalah dan pihak berkuasa tempatan telah menerima kuda selebriti mereka, kata pasangan itu.

“Ia adalah seekor kuda yang amat sabar, ia jarang sekali keletihan atau rasa stres,” kata Anna.

Satu-satunya perkara yang mengganggu Jenny adalah bunga api, sesuatu yang dikongsinya bersama Werner yang dihantui oleh bunyi bom digugurkan di Frankfurt ketika beliau masih kecil pada Perang Dunia Kedua.

“Jenny dan saya menghabiskan Tahun Baharu menyembunyikan diri bersama,” kata Werner sambil tersenyum.

Tuan Jenny yang sukakan haiwan, yang juga membela chihuahua dan menjaga lebih daripada 100 ekor burung, menghadapi pandemik koronavirus dengan tenang.

“Kami berjaya bertahan peperangan, kami akan bertahan koronavirus,” kata Werner. – AFP