Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kudapan klasik imbau zaman kanak-kanak

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar Muiz Matdani

    Zaman kanak-kanak merupakan memori yang paling indah untuk dikenang dan pastinya akan membuat kita tersenyum sendiri mengingati karenah dan kenakalan kita dahulu.

    Bagaimanapun, kenangan akan tetap menjadi kenangan, setiap keseronokan, kemeriahan dan kesukaan kini sukar untuk dicari kembali malah ada yang sudah tidak wujud lagi.

    Antara salah satu perkara yang boleh menggamit memori zaman kanak-kanak adalah kudapan yang menjadi kesukaan kanak-kanak dahulu khususnya mereka yang lahir pada zaman 70an hingga 90an.

    Semua kudapan yang pernah dinikmati dahulu itu pastinya kini sukar ditemui lagi dan jikalau ada pun sudah pasti rasanya berbeza.

    Gula-gula klasik gamit kenangan

    Pastinya mereka yang dalam kumpulan 70an ke 90an mengenali beberapa jenis gula-gula seperti Benson, Bento Milk Candy, gula-gula telor burung atau telor dinosaur, Bubble Gum Super 88 dan banyak lagi. Jika diberi peluang untuk kembali ke zaman kanak-kanak, sudah pasti kita akan mahu.

    Dayang Siti Nur Diyana bersama suami beliau berharap kudapan klasik akan terus dapat dinikmati oleh generasi seterusnya.
    Antara kudapan klasik yang didatangkan oleh Dayang Siti Nur Diyana.

    Untuk mengubati kerinduan bagi menikmati kudapan semasa zaman kanak-kanak satu ketika dulu, pemilik Old School Candy, Dayang Siti Nur Diyana binti Masdizam memberanikan diri untuk mencuba nasib dengan mendatangkan beberapa jenis kudapan klasik berkenaan ke pasaran negara dengan bantuan suami beliau, Pengiran Mohd Aleshahfezan bin Pengiran Metali sejak Ogos lalu.

    Seperti lazimnya, barang-barang tular akan mudah sampai kepada masyarakat lebih-lebih lagi barang yang dicari-cari dan sukar untuk diperoleh pada masa ini.

    Bermula dari lebih 50 jenis gula-gula pada awal pengenalan kepada orang ramai, kini Old School Candy menambah jumlah barangan kepada lebih 200 jenis makanan dan gula-gula dari tahun 80an ke 90an.

    Antara yang digemari seperti gula-gula Bento yang mempunyai perisa bandung, coklat, kopi selain Bubble Gum 88 dan juga Pusan manakala biskut King Kong yang berwarna kuning dan coklat pula menjadi pilihan warga emas.

    Kongsi beliau, gula-gula Bento merupakan produk pertama yang didedahkan kepada orang ramai semasa menyertai ekspo pada Oktober lalu.

    Tambahnya, beliau membungkus gula-gula Bento berkenaan dalam peket kecil dengan tujuan dapat dikongsi bersama.

    Di samping menjual kudapan klasik, beliau turut menjual permainan patung kertas zaman 80an dan 90an yang juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

    Kehalalan dipastikan

    Sebelum kudapan dibawa masuk ke negara ini, beliau menjelaskan akan memastikan dulu status kehalalannya sebelum ianya dijual kepada orang ramai.

    “Kami akan meminta pihak pembekal untuk memastikan yang barang-barang tersebut dijamin kehalalannya oleh negara pembekal selain memeriksa senarai produk halal yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam,” jelasnya.

    Ketika penulis bertanya mengenai perancangan masa depan, beliau berhasrat untuk membuka kedai Old School Candy dengan mengekalkan konsep klasik dari awal ia di perkenalkan kepada orang ramai.

    Tambahnya, dengan mengekalkan konsep klasik itu juga, akan dapat menarik minat lebih ramai orang khususnya generasi baharu untuk sama-sama merasai makanan klasik berkenaan.

    “Dengan membawakan barang-barang klasik ini juga, sedikit sebanyak dapat mengongsi kegembiraan dan menyampaikan hajat terutamanya bagi ibu-ibu mengidam untuk menikmati gula-gula zaman kanak-kanak mereka,” tambahnya.

    Kudapan klasik dapat sambutan

    Ketika ditanya mengenai sambutan orang ramai, Dayang Siti Nur Diyana menjelaskan rata-rata orang ramai berasa teruja apabila mengetahui barang-barang klasik yang dijualnya kini boleh di dapati dengan harga yang sangat berpatutan.

    Penulis turut berkesempatan menemu bual salah seorang penggemar kudapan klasik ini, Dayang Adriana binti Haji Seruji yang berkongsi perasaan gembira setelah sekian lama mencari gula-gula telor dan beberapa gula-gula klasik yang lain.

    Beliau mula-mula mengetahui keberadaan kudapan klasik ini melalui perkongsian gambar gula-gula telor yang dicarinya selama ini oleh teman sekerjanya semasa mengunjungi ekspo.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda