KUDAT – Mendekati dengan lebih dekat suku kaum Rungus, antara etnik utama di Kudat seperti mengenali hampir keseluruhan daerah paling utara di Sabah itu.
Mereka satu-satunya etnik yang masih tinggal di rumah panjang di Sabah dan semestinya tempat kediaman yang unik ini satu daripada tarikan utama bagi mereka yang berkunjung ke Kudat.
Daerah yang turut terkenal sebagai hab makanan laut ini semakin dikenali sebagai ikon pelancongan baharu Sabah.
Seperti Sandakan yang terkenal dengan pulau serta pantai yang cantik, Kudat turut mempunyai banyak tarikannya yang tersendiri. Tambahan, pulau, pantai mahupun gua batu kapur di daerah itu, kebanyakannya masih lagi asli, belum terjejas oleh pembangunan.
Bagai butir mutiara
Penulis yang pertama kali menjejakkan kaki ke Kudat begitu terpegun dengan keindahan daerah ini terutama pula pantainya yang berpasir putih dan halus.


Perasaan ini turut dikongsi 18 rakan media lain dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang mengikuti program Kembara Media Negaraku anjuran Jabatan Penerangan baru-baru ini.
Walaupun singkat, lawatan empat hari tiga malam (23 Mac-26 Mac) menyakinkan kami bahawa Kudat umpama sebutir mutiara yang akan terserlah juga kecantikannya.
Berkeluasan kira-kira 110 meter persegi, Kudat mempunyai dua daerah kecil iaitu Matunggong dan Pulau Banggi dengan beberapa pulau seperti Pulau Balambangan, Pulau Malawi dan beberapa gugusan pulau kecil.
Kudat terletak kira-kira 180 kilometer dari Kota Kinabalu dan untuk sampai ke sana mengambil masa hampir tiga jam dengan menaiki kenderaan darat.
Mungkin ini antara penyebab Kudat agak ketinggalan dari segi jumlah kedatangan pelancong.
Jumlah pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung ke Kudat dianggarkan antara 80,000 hingga 100,000 orang setahun.
Di samping itu, khidmat pengangkutan udara yang ada kini hanya beroperasi dua kali seminggu antara Kudat ke Sandakan dan Kota Kinabalu dengan menggunakan Twin Otter yang boleh membawa kapasiti 19 penumpang.
Semuanya dijangka berubah apabila Lebuh Raya Pan Borneo yang menelan kos kira-kira RM12.8 bilion siap sepenuhnya pada 2021 yang turut melibatkan daerah Kudat.
Menurut Pegawai Daerah Kudat Sapdin Ibrahim, laluan baharu pesisir pantai dari Tuaran sampai ke Simpang Mengayau yang menelan belanja RM2.5 bilion bakal merancakkan lagi ekonomi dan industri pelancongan Kudat.
“Apabila lebuh raya itu siap nanti, perjalanan menjadi lebih singkat dengan hanya mengambil masa kira-kira 1 jam setengah untuk laluan sejauh 130 kilometer.
“Kita menjangkakan sektor pelancongan akan meningkat dan kita sedang mempersiapkan dengan prasarana dan kemudahan bagi menggalakkan kedatangan pelancong,” kata Sapdin.
Antara tarikan
Rumah panjang etnik Rungus semestinya antara tarikan pelancong ke Kudat. Sebuah rumah panjang itu sebenarnya mewakili sebuah kampung dan sebuah bilik adalah untuk sebuah keluarga.
Ibu bapa dan anak perempuan tidur di dalam bilik manakala anak lelaki akan tidur di luar.
Bilik ketua kampung etnik Rungus pula biasanya akan berada di tengah-tengah rumah panjang. Terdapat sebuah pintu yang sentiasa tertutup di hadapan biliknya dan akan hanya dibuka untuk membawa mayat penduduk rumah panjang yang meninggal keluar dari rumah itu.
Etnik Rungus juga terkenal sebagai pengumpul madu yang hebat di Kudat selain berkemahiran dalam membuat manik dan gong yang menjadi produk pelancongan di sini.
Tanjung Simpang Mengayau
Antara perkara lain yang cukup sinonim dengan Kudat ialah Tanjung Simpang Mengayau (Tips Of Borneo) yang terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Kudat.
Menurut Sapdin, tidak lengkap ke Kudat sekirannya tidak sampai ke titik paling hujung kepulauan Borneo yang turut dikenali sebagai ‘Tanduk Negeri Sabah’.
Bukan sahaja pelancong luar, malah penduduk tempatan juga tidak melepaskan peluang ke tempat itu terutama pada hujung minggu.
Penulis perhatian semakin lewat petang semakin ramai pengunjung yang datang. Menyaksikan matahari terbenam dari atas bukit berlatarkan pertemuan antara Laut China Selatan dan Laut Sulu yang membiru membuatkan kami semua terpaku dengan keindahannya.
Sejarah Tanjung Simpang Mengayau bukan sahaja mencatat banyaknya kegiatan lanun tetapi ia turut menjadi pintu perdagangan utama di utara Borneo terutama kapal-kapal dagang dari China, India dan Arab.
Menurut Sapdin, banyak aktiviti dianjurkan di kawasan Tanjung Simpang Mengayau termasuk program Sunset Music Fstival yang diadakan sejak 2006.
Festival itu bukan sahaja membolehkan pengunjung menikmati alunan muzik dari pelbagai negara tetapi juga menikmati keindahan panorama.

Menurut beliau, di samping Simpang Mengayau, beberapa lokasi pelancongan baharu turut dibangunkan antaranya Pulau Balambangan dan Pulau Banggi yang masih belum diketahui ramai.
“Buat masa ini kebanyakan pelancong hanya bertumpu ke Simpang Mengayau. Kita mahu pelancong tinggal lebih lama di Kudat untuk meneroka tempat-tempat baharu ini,” katanya.
Menurut beliau di Pulau Balambangan terdapat gua batu kapur yang sangat cantik berbeza daripada gua lain yang terdapat di Malaysia.
Di samping itu, pelancong boleh menikmati keindahan pantai di Pulau Maliangin dan pantai Kelambu yang tidak kurang cantiknya seperti pantai yang sudah terkenal di Sabah.
Festival Kudat
Aktiviti pelancongan Kudat juga dijangka bertambah meriah apabila projek pembinaan Muzium Tun Mustapha (Marin) dimulakan tahun ini yang melibatkan peruntukan RM7 juta daripada kerajaan persekutuan.
Projek itu juga akan mengubah landskap Kudat sebagai destinasi pelancongan utama Sabah selaras dengan pewartaan taman marin terbesar di Malaysia pada tahun lepas.
Merancakkan lagi aktiviti pelancongan, Festival Kudat yang dianjurkan setiap tahun akan berlangsung pada 28 hingga 30 Julai ini.
“Memandangkan Tahun Melawat Kudat yang bermula tahun lepas masih berlangsung hingga penghujung tahun ini, banyak program telah kita rancangkan untuk menarik lebih ramai pelancong.
“Festival Kudat contohnya cukup ditunggu-tunggu dengan pelbagai acara seperti karnival makanan laut serta mencipta baju tradisi.
“Tahun ini kita memberi fokus kepada produk batik Kudat,” katanya yang mensasarkan kedatangan pelancong ke Kudat meningkat dua kali ganda tahun ini berbanding tahun lepas.
Asal nama Kudat
Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana terhasilnya nama Kudat. Ada beberapa versi berkaitan perkara ini.
Versi pertama mengkisahkan Kudat mendapat nama daripada perkataan etnik Rungus yang memanggil sejenis lalang yang banyak terdapat di Kudat dengan panggilan ‘Kutat’.
Untuk rekod, Kudat pernah menjadi ibu negeri pertama North Borneo, Sabah pada tahun 1881 hingga 1884.
Versi awal mengenai nama Kudat mengaitkannya dengan suku Bajau Ubian yang tinggal di pesisir pantai Kudat.
Dikatakan semasa kapal British berlabuh berdekatan perairan Kudat mereka membunyikan semboyan sehingga membuatkan penduduk berkata ‘Takudat aku’ yang bermaksud ‘terkejut saya’.
Sehingga kini, etnik Bajau Ubian masih tinggal di pesisir pantai sebagai nelayan. Etnik Rungus pula yang jumlahnya sekitar 15 peratus daripada 119,200 penduduk di Kudat, tinggal di darat dan kebanyakannya mencari nafkah sebagai petani.
Etnik utama lain yang ada di daerah itu termasuk Suluk, Murut, Dusun, Cina dan Melayu. – Bernama