Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kudat sedia jadi pusat tenaga boleh diperbaharui

    KOTA KINABALU, 29 Jun – Kudat, yang terletak di Utara Sabah, sudah bersedia untuk menjadi pusat tenaga boleh diperbaharui di negeri ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkilii (GAMBAR).

    Katanya, daerah yang terletak sejauh 190 kilometer dari Kota Kinabalu itu menerima sinaran matahari tertinggi sama seperti Kedah dan ia sentiasa cerah, ini amat sesuai untuk penjanaan tenaga elektrik fotovolta (PV) solar.

    Sehingga kini, beberapa loji PV solar berkuasa 58 megawatt telah diluluskan (bagi pembinaan di Kudat) oleh kementerian dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari.

    “Daripada angka itu, 50 megawatt akan dibangunkan secara bersama oleh Tadau Energy Sdn Bhd dan Edra Global Energy Bhd, dengan lapan megawatt lagi dikhaskan untuk Skim Suapan dalam Tarif,” katanya.

    Ongkili berkata demikian dalam satu kenyataan selepas melawat loji PV solar di Indarason dan Pantai Bak-Bak di sini.

    Katanya, sebanyak dua megawatt daripada loji PV solar 50 megawatt itu akan disalurkan kepada Kudat Grid manakala sejumlah 48 megawatt akan disuntik ke dalam talian penghantaran 132 kilovolt untuk diagihkan ke seluruh Sabah.

    “Kira-kira 50 megawatt dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta dan ini akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dari segi teknikal dan pengurusan (kedudukan),” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda