JOHANNESBURG, 13 OKT – Mohammed Kudus menjaringkan gol tunggal ketika Ghana menewaskan Comoros 1-0 di Accra kelmarin, untuk menjuarai Kumpulan I dan menjadi pasukan Afrika kelima yang layak ke Piala Dunia 2026 selepas Algeria, Mesir, Maghribi dan Tunisia.
Dengan sokongan daripada 40,000 penyokong yang memenuhi stadium, Ghana menguasai perlawanan pada separuh masa pertama, tetapi serangan mereka lembap dan mudah dijangka menyebabkan penjaga gol Comoros, Adel Anzimati-Aboudou kurang diancam.
Bagaimanapun, pasukan tuan rumah tidak menunggu lama selepas rehat dan mendahului pasukan lawan apabila pemain tengah Tottenham, Kudus, menjaringkan gol pada minit ke-47.
Comoros gagal mengeluarkan bola dalam situasi kelam-kabut di hadapan gawang dan semasa bola dihantar rendah ke dalam kotak enam ela, Kudus menolak masuk dari jarak dekat.
Kemenangan ke atas Comoros cukup bermakna kerana pasukan dari pulau Lautan Hindi itu pernah mengejutkan Ghana di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2022 dan menewaskan mereka sekali lagi dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia dua tahun lalu.

Ghana mendahului kumpulan dengan 25 mata daripada 10 perlawanan. Madagascar berada di tempat kedua dengan 19 mata walaupun tewas 1-4 kepada Mali yang berada di tempat ketiga di Bamako.
Ini akan menjadi penampilan kelima Black Stars di pentas dunia. Prestasi terbaik mereka adalah pada 2010 di Afrika Selatan, apabila tewas kepada Uruguay menerusi penentuan sepakan penalti di suku akhir.
Kelayakan ke Piala Dunia yang diperluas kepada 48 negara dan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, membuktikan kepercayaan pegawai Ghana terhadap jurulatih Otto Addo, yang dikritik teruk pada tahun lalu.
Empat pasukan Afrika lain akan ditentukan hari ini dan esok, dengan Benin, Cape Verde, Ivory Coast dan Senegal sebagai peneraju kumpulan. – AFP

