KOTA BHARU, 5 JUN – Kelantan United FC (KUFC) mengatur perlawanan persahabatan menentang dua pasukan Liga Super sebagai persediaan menghadapi pusingan kedua Liga Premier yang akan bermula 25 Jun ini.
Ketua jurulatihnya, Syamsul Saad berkata bahawa dua pasukan berkenaan adalah Sri Pahang FC dan Melaka United FC, masing-masing pada 7 dan 12 Jun ini.
Beliau berkata dua perlawanan tersebut amat penting bagi menilai prestasi beberapa pemain yang baru pulih daripada kecederaan selain untuk perancangan rombakan posisi pemain serta perubahan formasi.
“Dua perlawanan tersebut merupakan platform kepada pemain untuk mengekalkan momentum, jadi pada perlawanan menentang Sri Pahang FC dan Melaka United FC itu kami akan menurunkan pemain yang kurang minit perlawanan dalam saingan pusingan pertama Liga Premier.
“Kami sedia maklum pada pusingan kedua Liga Premier nanti cukup mencabar kerana majoriti pasukan melakukan rombakan bagi memberi saingan merebut tempat terbaik dalam carta liga,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, menerusi dua perlawanan tersebut, barisan jurulatih akan menilai persembahan pemain sebelum memutuskan untuk membawa masuk pemain baharu atau sebaliknya, menurut beliau.
Selepas mengharungi sembilan perlawanan, KUFC ketika ini berada pada kedudukan kelima dalam liga dengan mengumpul 15 mata hasil dari empat kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan. – Bernama