KOTA BHARU, 1 JUN – Kelantan United FC (KUFC) membuka talian hotline dan pusat pemantauan COVID-19 bagi memantau serta menerima laporan berhubung pandemik tersebut dalam kalangan pegawai, jurulatih dan pemain pasukan berkenaan.
Pengarah Eksekutif KUFC Sdn Bhd Anas Karimi Ahmad Thani berkata pihaknya menitikberatkan keselamatan pemain dan pegawai pasukan ketika jangkitan virus tersebut semakin menular di Kelantan dan Malaysia amnya. Beliau berkata langkah tersebut hasil cetusan idea Presiden KUFC Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
“Inisiatif itu memudahkan kami menyalurkan hebahan atau maklumat segera daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada semua pihak di KUFC. – Bernama