Thursday, March 6, 2025
26.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kugiran Masdo lakar sejarah buat konsert di DFP

    Kugiran Masdo yang ditubuhkan sejak 2015 melakar sejarah tersendiri apabila berpeluang mempersembahkan sebuah konsert istimewa bernuansakan muzik dari era 60an di lokasi berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

    Konsert yang bakal berlangsung pada 22 Julai depan, turut dianjurkan sempena DFP menyambut keraian sempena 25 tahun penubuhannya di Menara Berkembar Petronas.

    Konsert itu merupakan langkah berterusan DFP menghargai bakat-bakat seni dan memberikan mereka platform sejajar dengan matlamat penubuhan untuk menghidangkan muzik pelbagai genre bagi menarik semua lapisan masyarakat.

    Persembahan di DFP yang dianggotai oleh Ali Ariah selaku vokalis, Putu Ceri (bass, vokalis) dan Asmawi (gitaris,vokal latar) pasti mencatat satu lagi sejarah di lokasi yang boleh memuatkan 920 penonton pada satu masa, serta dewan konsert yang mempunyai tahap akustika yang tinggi.

    Penubuhan Kugiran Masdo diinspirasikan daripada filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Do Re Mi, manakala muzik mereka banyak dipengaruhi oleh kugiran era 1960an seperti A Ramlie & The Rhythm Boys, The Siglap Five dan The Wonders, serta era 2000an seperti The Last Shadow Puppets dan The Changcuters.

    Kugiran Masdo melahirkan single pertama bertajuk Bunga pada 2016, dalam masa dua bulan, muzik video single ini mendapat lima juta tontonan di YouTube.

    Album perdana mereka dilahirkan pada 2017 bertajuk Selamat Tinggal Pujaan mengandungi lapan lagu termasuk Bunga, Ratu Hati dan Malam Pesta Rock & Roll sehingga mencatat jualan sebanyak 10,000 unit.

    Single kedua mereka, Dinda, diedarkan pada 2019 dan mendapat sejuta tontonan dalam YouTube pada bulan pertama. Dinda turut tercalon dalam Anugerah Juara Lagu 34 pada 2020. – Agensi

    Kugiran Masdo bakal mengadakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda