Oleh Afiq Zainuddin –
Kuih cincin mendapat namanya kerana ia memiliki bentuk seperti bunga cincin, serupa kuih ardam, ia juga mempunyai lubang-lubang kecil sekitar enam bulatan.
Kuih tradisional masyarakat Melayu Brunei ini juga mempunyai peminatnya tersendiri tidak kira warga emas, belia mahupun kanak-kanak.
Rasanya yang rangup, manis dan berlemak, ‘keropok’ zaman dahulu ini sesuai dijadikan sebagai kudapan, makan petang atau buah tangan.
Disebabkan ia mempunyai jangka hayat yang lama, ia tahan disimpan dalam bekas kedap udara dan boleh didapati dengan mudah dijual di tamu-tamu, kedai runcit dan pasar raya.
CARA MEMBUATNYA
Bagaimanakah cara untuk menghasilkan kuih cincin yang sangat sedap dan rangup untuk disediakan?
Berkongsi secara ringkas mengenai bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kuih cincin ini adalah seperti tepung beras, gula pasir, air untuk merebus separuh gula apong, gula merah, garam halus secukupnya dan minyak goreng secukupnya.
Manakala bahan pencelup pula adalah seperti tepung beras, air secukupnya dan tepung beras tadi diuli dengan air sehingga cair.
Bagi prosess penyedian pula, mula-mula campurkan gula pasir bersama minyak dan garam di dalam mangkuk.
Selepas itu, masukkan air dan gula ke dalam periuk. Didihkan sehingga gula larut tanpa perlu dikacau. Setelah gula larut, tapiskan ke dalam campuran gula, minyak dan garam tadi.
Kacau hingga rata menggunakan sudu sehingga likat dan pekat.
Kemudian, masukkan tepung gandum dan kacau sebati sehingga menjadi adunan doh yang lembut.
Selepas itu, masukkan doh ke dalam mangkuk yang telah dilapis dengan plastik, bungkus dengan kemas dan simpan di dalam peti sejuk selama setengah jam atau sehingga betul-betul sejuk.
Sementara itu, sediakan adunan untuk mencelup isi kuih cincin. Campurkan air bersama tepung beras dan kacau dengan rata sehingga pekat.
Selepas setengah jam, keluarkan doh dari peti sejuk. Taburkan tepung gandum untuk proses mencanai dan menekap kuih cincin supaya ia tidak melekat.
Leperkan doh, tekap menggunakan penekap bulat sebesar 3-4 inci dan penekap bulat sebesar setengah inci untuk cincinnya.
Setelah selesai menekap, celupkan ke dalam air supaya ia rapuh dan rangup. Kemudian goreng di dalam minyak yang panas. Setelah itu angkat, toskan dan biarkan sejuk sebentar. Setelah kuih cincin agak sejuk, celupkan ke dalam adunan tepung beras yang telah dibancuh tadi dan goreng di dalam api yang perlahan sehingga masak.
Setelah itu kuih cincin sedia untuk dihidangkan. Namun, jika disejukkan dan disimpan di dalam bekas kedap udara, ia boleh tahan selama lebih sebulan. Selamat mencuba.
Bahan-bahan:
Tepung beras
Gula pasir
Gula apong
Air untuk merebus
Gula merah
Garam halus secukupnya
Minyak goreng secukupnya