Oleh Faris Yussof –
Sudah menjadi kebiasaan, masyarakat di negara ini setelah selesai menunaikan sembahyang Sunat Tarawih pasti akan mencari hidangan kuih-muih untuk dimakan bersama keluarga.
Jadi untuk kali ini saya kongsikan resipi kuih Malaya atau apam balik.
Kuih Malaya merupakan kuih tradisional yang rangup di luar namun lembut di dalam dan mempunyai inti yang terdiri daripada kacang, kismis dan susu pekat manis.
BAHAN-BAHAN
Untuk bahan kulit kuih Malaya, bahan-bahan yang diperlukan ialah dua cawan tepung jagung, satu sudu kecil baking powder, setengah sudu kecil soda penaik, setengah cawan gula, satu biji telur, satu setengah cawan susu segar atau air, satu sudu kecil garam, satu sudu kecil esen vanila dan satu sudu besar minyak masak.
Sementara itu, bahan untuk intinya adalah setengah cawan kacang tanah yang sudah disangai dan dikisar kasar, satu per empat cawan gula pasir, satu per empat cawan kismis dan sedikit mentega untuk sapuan.
CARA PENYEDIAAN
Langkah pertama kita perlu menyediakan adunan terlebih dahulu. Caranya campurkan tepung jagung, baking powder, soda penaik, gula dan garam di dalam mangkuk.
Selepas itu pukul telur dan campurkannya bersama susu segar dan esen vanila.
Tuangkan campuran telur ke dalam tepung sedikit demi sedikit lalu dikacau sehingga sebati.
Kemudian tambahkan minyak dan kacau sehingga sebati. Rehatkan adunan kita selama 30 minit. Setelah itu kita boleh mula memasak kuih Malaya. Caranya kita panaskan kuali non-stick dengan api kecil.
Selepas itu, tuangkan satu senduk adunan dan ratakan sehingga membentuk bulatan.
Masaknya sehingga permukaan berlubang kecil dan hampir kering. Kemudian taburkan gula, kacang tanah kisar dan kismis. Untuk membuatkan hidangan kita rasa lebih lemak, kita sapukan sedikit mentega.
Langkah terakhir adalah lipat kuih Malaya menjadi separuh dan tekan sedikit supaya inti melekat. Kemudian angkat dan potong sebelum dihidangkan.
TIP
Untuk mendapatkan permukaan kuih Malaya yang cantik, gunakan api kecil. Selain itu, untuk memberikan cita rasa moden, awda boleh tambahkan keju atau coklat cair. Selamat mencuba!
Bahan-bahannya
• 2 cawan tepung gandum
• 1 sudu kecil baking powder
• 1/2 sudu kecil soda bikarbonat
• 1/2 cawan gula
• 1 biji telur
• 1 1/2 cawan susu segar / air
• 1 sudu kecil esen vanila
• 1 sudu kecil garam
• 1 sudu besar minyak masak
Bahan Inti:
• 1/2 cawan kacang tanah (disangai dan dikisar kasar)
• 1/4 cawan gula pasir
• 1/4 cawan kismis
• Sedikit mentega (untuk sapuan)