BUKAN hanya makanan, rempah ratus juga dijadikan sebagai bahan penyedap rasa dalam kuih-muih Melayu.
Rempah ratus seperti bunga cengkih, kulit kayu manis, halba dan jintan merupakan antara rempah ratus yang menjadi pilihan.
Berikut merupakan antara menu kuih-muih Melayu yang disediakan bersama dengan rempah ratus.
Pulut Lepar panggang
Bahan-bahan:
1 kg beras pulut yang direndam sekurang-kurangnya 30 minit
3 cawan santan
Garam secukup rasa
Daun pisang secukupnya yang harus dilayurkan dan dilap bersih.
Lidi secukupnya dan potong bahagian tajamnya.
Bahan serunding:
500 gram ikan sardin
2 keping asam gelugur
Sedikit garam
1 cawan santan pekat
½ sudu teh halba
5 ulas bawang merah yang dikisar
2 ulas bawang putih yang dikisar
2cm halia yang dikisar
1 sudu teh serbuk lada hitam
Garam dan gula secukup rasa
Cara memasak:
Rebus ikan dengan garam, asam gelugor dan sedikit air. Setelah ikan sejuk asingkan isi dari tulangnya. Tumbuk isi ikan sehingga lumat. Seterusnya masukkan santan dalam kuali bersama bahan kisar, halba, isi ikan, garam dan gula secukup rasa. Masak hingga bahan-bahan menjadi kering dan berderai. Angkat dan biarkan sejuk sementara menyediakan pulut. Kukus pulut yang direndam tadi sehingga masak lebih kurang 20-25 minit. Angkat pulut dan masukkan dalam bekas besar dan gaulkan bersama santan yang dicampurkan dengan sedikit garam. Kemudian kukus semula lebih kurang 10 minit. Untuk membuat pulut leper, ambil daun pisang, sudukan 2-3 sudu pulut di atas daun pisang. Ratakan pulut dan isikan 2-3 sudu kecil inti ikan di bahagian tengah pulut. Kemudian balutkan inti dengan pulut beralaskan daun pisang. Pastikan untuk membalutnya dengan kemas. Potong lebihan daun pisang kiri dan kanan balutkan pulut. Kemaskan hujungnya dengan lidi penyucuk. Setelah siap semuanya, pulut sedia dibakar menggunakan dapur arang atau dalam ketuhar. Setelah garing, angkat dan sedia untuk dihidangkan.
Tembosa
Bahan-bahan:
4 ekor ikan kembung
½ biji kelapa parut yang putih sahaja
2 biji bawang besar yang dipotong dadu
1 sudu teh halba
Garam dan gula secukup rasa
Bahan kulit:
1 kg tepung gandum
½ cawan minyak masak
½ sudu teh garam
Air secukupnya.
Cara memasak:
Bakar ikan dan asingkan isi dengan tulang. Tumbuk isi ikan. Campurkan isi ikan bersama kelapa parut, bawang besar, halba, garam dan gula secukupnya. Gaul rata, kemudian goreng sehingga sedikit garing. Angkat dan ketepikan. Untuk menyediakan kulit Tembosa, campurkan tepung dan garam. Gaul rata. Masukkan minyak , gaul rata, kemudian masukkan air dan uli menjadi doh lembut. Ambil doh dan bentukkannya menjadi bulat seperti sedikit kecil dari bola ping pong. Canaikan menjadi nipis dan masukkan inti serunding ikan dan klim tepinya seperti kuih karipap. Buat cara yang sama sehingga ia siap. Akhir sekali, goreng dengan menggunakan api sederhana hingga warna kekuningan. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.
Pulut Serunding
Bahan-bahan:
3 cawan pulut
3 cawan santan cair
½ sudu teh garam
1 helai daun pandan
Bahan serunding:
½ biji kelapa parut bahagian putih sahaja
50 gram udang kering atau ikan bilis.
1 batang serai
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 cm halia
2 cm kunyit hidup
1 batang serai
3 biji cili merah
1 sudu makan biji ketumbar
½ sudu teh jintan manis
½ sudu teh jintan putih
1 sudu teh air asam Jawa
Garam dan gula secukup rasa
2 sudu makan minyak
Cara memasak:
Cuci beras pulut kemudian masukkan dalam periuk elektrik dengan ukuran air sama paras dengan pulut. Masak sehingga berwap. Sementara itu, panaskan santan cair bersama sedikit garam dan daun pandan. Tuangkan dalam periuk pulut tadi, kacau rata. Kemudian tutup semula dan biarkan pulut masak. Untuk menyediakan serunding, panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga wangi. Seterusnya masukkan kelapa, air asam Jawa, garam dan gula secukup rasa. Gaul rata dan terus goreng inti sehingga ringan dengan api yang perlahan. Setelah sedikit kering dan cukup rasa, tutup api. Untuk menghidangkan pulut serunding bentukkan pulut mengikut cita rasa dan gaulkkannya dengan serunding kelapa. Pulut serunding sedia untuk dihidangkan.