Oleh Nurdiyanah R.
Gambar oleh Nurdiyanah R. & Salawati Haji Yahya
Seluruh umat Islam kini semakin berada di penghujung bulan Ramadan yang penuh kerahmatan dan keberkatan. Ini bermakna tinggal kurang lima hari lagi kita akan menyambut kedatangan bulan Syawal dengan meraikan Hari Raya Aidilfitri, iaitu hari kemenangan umat Islam setelah berjaya menunaikan kewajipan ibadah puasa.
Menjelangnya sambutan hari kemenangan ini, salah satu persiapan yang ‘wajib’ ada sebagai hidangan untuk menyambut kunjungan para tetamu adalah kuih-muih.
Jika sebahagian orang memilih untuk membuat sendiri kuih-muih mereka, terdapat juga mereka yang lebih gemar membeli sahaja sama ada di bazar-bazar atau tempahan daripada para peniaga.
Dari tahun ke tahun, pastinya bermacam-macam kuih-muih dihasilkan oleh masyarakat di negara ini bak cendawan tumbuh selepas hujan yang semestinya merangkumi kepelbagaian kuih-muih.
Baru-baru ini, Media Permata berkesempatan untuk meninjau seketika suasana kemeriahan acara jualan kuih-muih raya di Dewan Riadah, Pusat Belia Bandar Seri Begawan yang akan berlangsung hingga 19 April ini.
Ratusan pilihan hidangan lebaran
Jualan kuih-muih raya berkenaan telah menampilkan lebih 60 orang peserta yang terdiri daripada kumpulan belia iaitu ahli-ahli Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Negara Brunei Darussalam, Pusat Pembangunan Belia (PPB), ahli-ahli Kelab Pusat Belia Bandar Seri Begawan, Persatuan Pengakap Daerah Brunei Muara dan ibu-ibu tunggal.
Pelbagai jenis hidangan kuih lebaran dijual bagi memberi pilihan menarik orang ramai yang berkunjung di negara ini. Antara kuih yang dijual ialah mor, cerelac, tart nanas dan bermacam-macam makanan yang pastinya menyelerakan seperti serunding, popia goreng, maruku dan sebagainya. Begitu juga pelbagai kek yang beraneka jenis seperi kek batik, kek lapis, kek buah dan pelbagai jenis kek gulung yang beraneka rasa dan warna yang menarik.
Dengan adanya jualan sebegini, ia sememangnya jelas memaparkan semangat keusahawanan dalam diri golongan para pengusaha tempatan tidak kira peringkat usia dalam sama-sama memajukan diri mereka dari segi kemahiran pengurusan dan pembuatan kuih-muih dengan lebih bersistematik dalam meniti dunia perniagaan yang sebenar.
Selain itu, ia juga sebagai platform sebagai penggalak untuk memperkembangkan potensi serta kemahiran diri seterusnya mempromosikan jenama kuih-muih dan mencari peluang menjadi pelanggan tetap dan menjadi sumber pendapatan.
Sentuhan air tangan anak tempatan
Berkesempatan ditemui salah seorang pengunjung, Dayang Roziyati binti Haji Buntar meluahkan kegembiraannya dengan adanya pelbagai jenis kuih-muih sentuhan hasil air anak tempatan kita sendiri yang pastinya memiliki gaya keunikan dan kreativiti yang tersendiri.
“Sejujurnya saya berpuas hati dengan adanya jualan sebegini kerana ia dapat memenuhi keperluan hidangan kuih-muih bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal kita raikan tidak lama lagi,” ujarnya yang berasal dari Daerah Temburong.
Beringat-ingat ketika berbelanja
Salah seorang pengunjung dari Kampung Madang, Dayang Siti Rahmat binti Awang Said bersama anak perempuannya pada ketika itu menyatakan bahawa setiap menjelang Hari Raya Aidilfitri, jualan variasi pilihan kuih-muih di pusat belia berkenaan adalah salah satu tempat yang amat dinanti-nantikan.
“Dengan adanya jualan sebegini, ia sememangnya sangat memberi kemudahan bagi masyarakat di negara ini untuk membeli juadah hidangan kuih-muih sebagai persiapan hari lebaran yang bakal menjelang ini,” ujarnya dengan penuh kesyukuran.
Dalam kesempatan itu, beliau turut menyarankan kepada masyarakat di negara ini sentiasa beringat-ingat agar tidak boros ketika berbelanja dan membeli barangan yang diperlukan sahaja dalam menempuhi kemeriahan persiapan Hari Raya ini.