Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kuih tradisi Kepok Opah jadi tarikan

    TAIPING, 28 Dis – Kepok Opah iaitu sejenis makanan ringan daripada ubi kayu merupakan antara tarikan Bazar Cross Street di Jalan Lim Tee Hooi di sini yang bermula sejak 25 hingga 31 Disember ini.

    Peniaga Kepok Opah, Shahrul Nizam hashim, 41, berkata dia berniaga makanan tradisional itu sejak 25 Disember lalu di bazar berkenaan.

    Ketika menceritakan mengenai keistimewaan makanan itu, Shahrul berkata ia diperbuat daripada ubi kayu yang direbus kemudian digelek nipis sebelum dijadikan kepok berbentuk bulat.

    “Selepas itu ia dijemur selama dua hari untuk membolehkan ubi yang digelek itu menjadi kering berbentuk bulat sebelum ia digoreng dalam kuali panas.

    “Untuk menggoreng ia tidak perlu terlalu lama dan ia boleh dimakan dalam tempoh beberapa minit dengan menggunakan cicah kuah kacang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

    Sharul Nizam Hashim menggunakan kayu dan bakul untuk membawa kuih Kepok – Opah yang dijual di Bazar Cross Street hari ini. Bazar berkenaan dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam sejak 25 Disember lalu dan akan berakhir 31 Disember ini. – Bernama

    Shahrul Nizam berkata dia dibantu isterinya Norazniza Zainal Abidin, 35 menjalankan perniagaan makanan ringan tersebut yang jarang ditemui di mana-mana bazar.

    “Saya belajar membuat makanan ringan ini daripada orang tua dahulu dalam usaha memperkenalkan makanan tradisional ini kepada orang ramai.

    “Sambutan di kalangan orang ramai amat menggalakkan dan saya boleh menambahkan pendapatan saya kerana makanan ringan ini sukar diperoleh,” katanya.

    Bazar Cross Street itu dibuka sejak 25 hingga 31 Disember ini sempena program pelancongan Tujuh Hari Tujuh Acara bertemakan Larut British Malaya di Bandar Warisan Taiping di sini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda