Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT- Lebih 54 orang pelajar Tahun 10 Fast Track dan Tahun 11 dari 3 buah sekolah Arab, iaitu Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Ma’had Islam Brunei, dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha selaku tuan rumah telah menyertai Pertandingan Kuiz bagi Mata Pelajaran Brunei-Cambridge GCE ‘O’ Level pagi tadi.
Acara tersebut merupakan salah satu pengisian program Ilal Majdi Wal ‘Ula anjuran Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam bagi mendukung inisiatif Rancangan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) 2020-2024 yang berlangsung di Dewan Sekolah berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Pengarah (Perkhidmatan Korporat), Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Dayang Haslinah Susanti binti Haji Md Hassan.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Ustaz Ali Moustafa Ali El Saghir disusuli ucapan alu-aluan dari Pemangku Pengetua Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Ustazah Dayangku Aidi Noorintan binti Pengiran Haji Zinin.
Antara tujuan program diadakan adalah untuk mendedahkan para pelajar dengan pelbagai aplikasi atas talian sekali gus menjadikan pelajar celik teknologi dan meningkatkan motivasi serta kegigihan pelajar-pelajar untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘O’ Level yang tidak lama lagi.
Selain itu, aktiviti ini juga untuk menanamkan sifat bekerjasama dan berdaya saing sesama rakan.
Suasana ketika kuiz berkenaan berlangsung.