BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Pasukan badminton JENESYS Jepun akan mengadakan perlawanan badminton persahabatan yang dianjurkan oleh Persatuan Badminton Brunei di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Perlawanan yang akan diadakan pada pagi esok itu akan turut disaksikan oleh Duta Besar Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato.
Seramai 16 mahasiswa dari Universiti Nippon Sport Science membuat lawatan ke negara ini sebagai sebahagian daripada JENESYS2017, satu program pertukaran yang dilancarkan oleh kerajaan Jepun bagi mempromosikan Jepun dalam kalangan belia luar negara dengan tema ‘Badminton Exchange’.
Kumpulan pelajar Jepun ini merupakan kumpulan yang mahir dalam sukan badminton di Jepun, termasuk pemenang pertama dalam Kejohanan Badminton Antara-Kolej 2016-2017 (beregu) di Jepun.
Mereka, yang sudah berada di negara ini sejak 23 Februari hingga 3 Mac, bakal berdepan dengan saingan daripada beberapa orang pemain badminton dari Universiti Teknologi Brunei (UTB), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Pasukan Belia yang ditubuhkan oleh Persatuan Badminton Brunei.
Ia secara tidak langsung sebagai usaha mempromosikan pertukaran belia antara Jepun dan Brunei Darussalam dalam bidang sukan.