Selain bahang kontroversi dan pelbagai episod menggemparkan industri hiburan, 2023 meninggalkan pelbagai catatan manis buat penggiat seni muzik yang tidak pernah jemu menghasilkan karya berkualiti untuk melengkapkan kecemerlangan portfolio.
BH Online menyorot kembali detik kejayaan insan seni yang menyinar sepanjang 2023, malah mampu mengukir senyuman bangga dengan pelbagai pencapaian dilakar.
Terus mengukuhkan reputasi sepanjang hampir tiga dekad dalam belantara seni adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Antara kejayaan manis dilakar penyanyi bervokal ampuh ini adalah menghasilkan beberapa siri konsert, termasuk bersama maestro muzik antarabangsa, AR Rahman, meskipun berdepan dengan masalah vokal yang kronik.
“Saya bersyukur perjalanan seni 2023 berjalan dengan baik kerana saya mendapat peluang dan pengalaman baharu seperti menjayakan persembahan dengan AR Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Selain itu, saya turut diundang membuat persembahan dalam Konsert David Foster dan menjayakan Konsert Satu Suara Vol 3 bersama Ernie Zakry dan Jay Jay.
“Meskipun kondisi kesihatan suara bermasalah, namun saya masih dapat menjayakan persembahan Queen Of The Night di Royale Chulan dan juga A Night To Remember di Persada Johor.
“Saya akui agak risau dan tertekan dengan masalah peti suara, tetapi saya tetap menjayakan persembahan demi peminat tersayang,” ungkap penyanyi Jerat Percintaan ini.
Jenama Siti dalam bidang seni terus mendapat pengiktirafan apabila dikurniakan anugerah The Golden Voice Of The East dalam majlis The Knight Awards yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.
“Tahun 2023 tetap ada cabaran tersendiri, tetapi saya dapat melaluinya dengan baik,” tambahnya. – Agensi