Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengukuhkan kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam pasaran pelancongan Asia Tenggara, Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) dengan kerjasama Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan rakan kongsi pelancongan tempatan telah mengadakan dua lawatan suai kenal bagi ejen-ejen pelancongan dari Thailand dan Vietnam, baru-baru ini.
Menurut kenyataan JKP, lawatan bagi delegasi Thailand diadakan pada 12 hingga 16 November dan lawatan bagi delegasi Vietnam diadakan pada 13 hingga 16 November di mana lawatan itu, mencerminkan komitmen jabatan mengetengahkan kekayaan budaya, alam semula jadi serta tarikan pengembaraan Brunei.
Kumpulan Thailand merangkumi 11 ejen pelancongan manakala kumpulan Vietnam merangkumi 12 peserta, di mana mereka merupakan pemain-pemain industri utama dari negara masing-masing.
Sepanjang lawatan itu, kedua-dua delegasi berpeluang mengenali mercu tanda budaya dan sejarah Brunei, bermula dengan lawatan ke Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Muzium Alat Kebesaran Diraja, Kampong Ayer dan Istana Nurul Iman.
Di luar bandar, jadual perjalanan berkenaan membawa peserta lebih dekat dengan khazanah alam semula jadi Brunei seperti laluan kanopi di Taman Negara Ulu Temburong dan Safari Sungai Bakau Brunei.
Bagi melengkapi pengembaraan itu, program tersebut turut menampilkan aktiviti kebudayaan secara langsung seperti pembuatan batik, cara membuat wajid dan demonstrasi masakan ayam buluh, yang memberikan peluang kepada mereka untuk menyaksikan secara langsung amalan artisanal dan kulinari Brunei.
Kedua-dua kumpulan berkenaan juga berpeluang mengadakan pemeriksaan di hotel-hotel terpilih untuk lebih memahami pilihan penginapan Brunei bagi pelancong riadah, perniagaan dan pengembaraan.
Dua sesi rangkaian berasingan juga diadakan antara agensi pelancongan Brunei, ejen Thailand dan Vietnam untuk bertukar-tukar pandangan dan meneroka potensi kerjasama untuk pakej pelancongan masa hadapan.
Pada awal 2025, jabatan berkenaan telah menjalankan lawatan suai kenal untuk ejen Thailand yang menumpukan pada pelancongan Muslim dan menghoskan seorang pempengaruh Vietnam, Fahoka untuk mempromosikan lagi Negara Brunei Darussalam ke rantau ini.




