Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam terdiri daripada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri ke Mesyuarat United Nations Peacekeeping Ministerial (UNPM) 2025 yang diadakan di Berlin, Republik Persekutuan Jerman, pada 13 hingga 14 Mei.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, turut menyertai delegasi ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Persekutuan Jerman, Puan Yang Terutama Pengiran Hajah Krtini binti Pengiran Haji Mohd Tahir.
Mesyuarat UNPM 2025 merupakan kesinambungan kepada siri mesyuarat peringkat tinggi yang diadakan sejak 2014, yang kali ini telah menghimpunkan 54 menteri dan 15 timbalan menteri serta perwakilan dari negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Mesyuarat itu berfungsi sebagai platform penting bagi merangka masa depan operasi pengaman PBB serta mengukuhkan sokongan berterusan dari negara-negara ahli.
Mesyuarat terakhir sebelum ini telah diadakan pada Disember 2023 di Accra, Republik Ghana.
Mesyuarat edisi kali ini telah dirasmikan bersama oleh Menteri Luar Persekutuan, TYT Johann Wadephul dan Menteri Pertahanan Republik Persekutuan Jerman, TYT Boris Pistorius.
Setiausaha Agung PBB, TYT Antonio Guterres telah menyampaikan ucaptama pada mesyuarat berkenaan.
Mesyuarat yang bertemakan The Future of Peacekeeping itu memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai pengukuhan mandat misi operasi, kepentingan pembiayaan, meningkatkan penggunaan teknologi dalam misi-misi pengaman dan mengurangkan jurang keupayaan, di samping usaha mempertingkatkan keselamatan, perlindungan dan keberkesanan misi pengaman.
Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi juga berpeluang mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan TYT Boris Pistorius dan Menteri Pertahanan Nasional, Republik Rakyat China, TYT Laksamana Dong Jun semasa Majlis Makan Malam Rasmi.
Di samping itu, Yang Berhormat Pehin juga berkesempatan berinteraksi bersama rakan-rakan sejawat dari negara-negara anggota ASEAN serta rakan antarabangsa lain yang menghadiri mesyuarat berkenaan, dalam usaha mengukuhkan lagi kerjasama serantau dan antarabangsa dalam bidang keamanan dan keselamatan.
Negara Brunei Darussalam terus menzahirkan komitmennya dalam menyokong usaha PBB ke arah mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Penyertaan pertama negara dalam operasi pengaman adalah pada1993 di bawah Pihak Berkuasa Peralihan PBB di Kemboja (UNTAC) dan sejak 2008, telah terus menugaskan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).
Mesyuarat yang berakhir pada 14 Mei itu dihadiri oleh 133 buah negara di mana 74 buah negara telah membuat ikrar dalam usaha untuk merapatkan jurang keupayaan dan memodenkan operasi keamanan bagi memperkukuh kapasiti dalam menangani realiti semasa dan akan datang.