JAKARTA, REPUBLIK INDONESIA, 6 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan kepentingan bagi menangani kesan peningkatan suhu dan cuaca ekstrem serta mengalu-alukan pengukuhan kerjasama dengan berkongsi teknologi dan kepakaran inovatif melalui Pusat Perubahan Iklim ASEAN.
Selain itu, Baginda turut menggalakkan usaha bersepadu untuk memajukan transformasi digital di rantau ini bagi merapatkan jurang digital dan memastikan perdagangan serantau yang lebih dinamik.
Perkara itu adalah antara yang ditekankan Baginda semasa bertitah pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-26 dan Sidang Kemuncak ASEAN-ROK ke-24 di Pusat Konvensyen Jakarta, Indonesia hari ini.
Berangkat mengiringi Baginda ke persidangan berkaitan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-26
Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-26.
Pada Sidang Kemuncak ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah, di mana Baginda mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Li Qiang ke Sidang Kemuncak ASEAN-China buat julung kalinya.

Mengimbas kembali kerjasama kukuh dan saling bermanfaat antara ASEAN dan China sejak penubuhan Hubungan Dialog pada 1996, Baginda merakamkan penghargaan kepada Republik Rakyat China kerana memberikan penekanan terhadap peningkatan hubungan sosio-kebudayaan, yang menjadi asas untuk memupuk kepercayaan dan keyakinan antara ASEAN dan China.
Bencana-bencana alam yang semakin kerap berlaku telah memberikan kesan yang ketara kepada pengeluaran pertanian dan pemakanan serta perdagangan produk pertanian utama.
Dalam hal ini, Baginda mengalu-alukan bagi meneruskan kerjasama praktikal yang tertumpu kepada perkongsian amalan pertanian berdaya tahan dan mampan, serta mengukuhkan rangkaian bekalan makanan.
Ia juga bertujuan untuk meningkatkan jaminan makanan di rantau ini dan juga meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi krisis pada masa hadapan.
Justeru itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan kepentingan bagi menangani kesan peningkatan suhu dan cuaca ekstrem, serta mengalu-alukan pengukuhan kerjasama dengan berkongsi teknologi dan kepakaran inovatif melalui ASEAN Centre for Climate Change.
Di samping itu, pendekatan holistik akan dapat membantu menangani kesan perubahan iklim di samping mengukuhkan lagi kerjasama Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China.
Sementara itu, TYT Li Qiang antara lain menyatakan komitmen ke arah kemajuan dan kemakmuran serantau melalui kerjasama dalam bidang perdagangan, kesalinghubungan serantau dan perubahan iklim.
Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Joko Widodo dan Pengerusi ASEAN seterusnya menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN mengenai Hubungan Dialog ASEAN-China, yang antara lain menggariskan bahawa ASEAN dan China mempunyai tanggungjawab bersama dalam memelihara keamanan dan kestabilan serantau. ASEAN dan China juga harus sama-sama memastikan kerjasama ASEAN-China ditumpukan kepada masa depan rakyat.
Semasa sidang kemuncak berkenaan, ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN membincangkan usaha-usaha untuk meningkatkan ekonomi dan perdagangan antara ASEAN dan China, serta dalam bidang transformasi digital, kesalinghubungan dan pertukaran antara rakyat.
Pada penghujung sidang kemuncak, ASEAN-China Joint Statement on Cooperation on the ASEAN Outlook on the Indo-Pacific dan ASEAN-China Joint Statement on
Deepening Agricultural Cooperation telah diluluskan.
Sidang Kemuncak ASEAN-ROK ke-24
Pada Sidang Kemuncak ASEAN-ROK ke-24, Baginda mengurniakan titah yang antara lain merakamkan penghargaan terhadap sokongan ROK kepada usaha-usaha pembinaan Komuniti ASEAN selama ini, termasuk Inisiatif Solidariti ASEAN Korea (KASI) yang menunjukkan komitmen ROK untuk meningkatkan kerjasama dengan ASEAN.
Ke arah ini, Baginda menggalakkan bagi meneruskan usaha bersepadu untuk memajukan transformasi digital di rantau ini termasuk melalui inisiatif seperti ASEAN-ROK Startups Partnership bagi merapatkan jurang digital antara para peniaga ASEAN dan ROK untuk memastikan perdagangan serantau yang lebih dinamik.
Di samping itu, Baginda juga menekankan peranan penting golongan belia dan perlunya menyediakan lebih banyak peluang untuk para belia berkembang maju dan cemerlang.
Dalam hal ini, Baginda mengalu-alukan program-program dan inisiatif-inisiatif seperti Sidang Kemuncak Belia ASEAN-ROK. dalam menyediakan platform bagi para belia ASEAN dan ROK untuk menjalinkan hubungan rapat dan bertukar-tukar pendapat untuk meneroka bidang kerjasama yang berpotensi.
Sementara itu, Presiden Republik Korea, Tuan Yang Terutama Yoon Suk-yeol dalam ucapan menekankan sokongan ROK terhadap Centrality ASEAN dan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP), yang dapat dilihat melalui Inisiatif Solidariti ASEAN Korea (KASI).
Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Pham Minh Chính, selaku Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-ROK, seterusnya menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN, yang antara lain menyatakan tiga bidang keutamaan bagi hubungan dialog ASEAN-ROK.
Ia termasuk mengukuhkan kerjasama ekonomi dan perdagangan di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-ROK dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Semasa sidang kemuncak, ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN menggalakkan ASEAN dan ROK untuk terus meningkatkan kesalinghubungan dan rantaian bekalan serantau bagi memastikan rantau ini berdaya tahan apabila menghadapi cabaran berikutan perkembangan serantau dan global.
Pada penghujung sidang, Joint Statement of the 24th ASEAN-Republic of Korea Summit on Cooperation on the AOIP telah diluluskan.