Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin yang juga selaku Setiausaha Agung Suruhanjaya Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bagi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), telah menyertai Mesyuarat Serantau Lima Suruhanjaya-suruhanjaya Kebangsaan bagi UNESCO kali kedua yang diadakan secara maya pada 10 Jun.
Mesyuarat tersebut dianjurkan bersama Pejabat Serantau UNESCO di Jakarta dan Suruhanjaya Kebangsaan Republik Filipina bagi UNESCO (UNACOM) yang bertujuan untuk terus mengukuhkan kerjasama dan jalinan perkongsian antara Lima Suruhanjaya-suruhanjaya Kebangsaan bagi UNESCO.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa dan serantau, memupuk perkongsian ilmu, serta menggalakkan pembangunan penyelesaian inovatif secara kolaboratif merangkumi bidang pendidikan, sains, kebudayaan dan komunikasi bagi menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di rantau ini.
Antara sebahagian daripada agenda program mesyuarat serantau tersebut, wakil-wakil daripada Suruhanjaya Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Republik Filipina dan Timor-Leste telah membentangkan perkembangan aktiviti masing-masing sejak Mesyuarat Serantau sulung Suruhanjaya Kebangsaan bagi UNESCO Lima Negara yang telah diadakan pada Mei 2024 di Jakarta, Indonesia.
Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati turut mengongsikan perkembangan utama dan penca-paian yang signifikan berserta program dan inisiatif yang akan datang bagi mengukuhkan kerjasama serantau dan menyokong keutamaan UNESCO di negara ini.
Turut mengiringi Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati ialah pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.
