KUALA LUMPUR, 21 OGOS – Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah binti Haji Muhammed Taib dan pegawai-pegawai dari Pejabat Peguam Negara telah menghadiri Forum Undang-undang ASEAN 2025 dari 19 hingga 21 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Malaysia.
Pembukaan Forum Undang-undang ASEAN 2025, yang dianjurkan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, telah dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Puan Yang Terutama Dato’ Sri Azalina Othman Said.
Menurut kenyataan Pejabat Peguam Negara, forum tersebut telah dihadiri oleh menteri dan timbalan menteri undang-undang ASEAN, serta menteri undang-undang Timor-Leste, bersama pegawai undang-undang kanan ASEAN dan pegawai tinggi rakan dialog ASEAN termasuk Timbalan Menteri Kehakiman Negara Jepun, serta pakar undang-undang antarabangsa seperti Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL), Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, dan Institut Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur (ERIA).
Melalui sesi pleno dan sesi selari tematik, forum tersebut telah mengadakan perbincangan peringkat tinggi dengan objektif menyediakan platform dialog untuk memper-tingkatkan akses kepada keadilan, mengukuhkan kerjasama undang-undang dan menggalakkan pertumbuhan inklusif dalam era digital.
Forum tersebut telah menghimpunkan pegawai, pengamal dan pakar undang-undang, penggubal dasar serta pihak berkepentingan dari negara-negara anggota ASEAN dan rakan dialog untuk mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai isu-isu semasa berkaitan sistem undang-undang ASEAN dalam usaha untuk mengukuhkan kerjasama dan kedaulatan undang-undang, serta membina komuniti ASEAN yang inklusif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan.


Sejajar dengan tema Mempertingkatkan Akses kepada Keadilan dalam Komuniti Ekonomi ASEAN: Merapatkan Kerjasama Undang-undang untuk Pertumbuhan Inklusif, forum berkenaan memfokuskan mengenai memajukan timbang tara dan mediasi perdagangan antarabangsa sebagai tambahan bagi menangani pelbagai isu dan cabaran undang-undang kontemporari secara
menyeluruh dalam bidang berkaitan insolvensi rentas sempadan, keselamatan dalam talian, jenayah berkaitan siber, inovasi undang-undang berasaskan AI, dan tadbir urus yang baik.
Hasil utama forum itu ialah pengesahan kenyataan bersama mengenai pembangunan timbang tara dan mediasi perdagangan antarabangsa oleh Menteri-menteri Undang-undang ASEAN pada 21 Ogos, sebagaimana yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, TYT Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir di upacara pengesahan tersebut ialah Setiausaha Agung ASEAN, TYT Dr Kao Kim Hourn.
Kenyataan bersama tersebut mengisytiharkan dan mengiktiraf komitmen dalam bidang penting seperti pembangunan ekonomi serantau melalui penjajaran dengan piawaian antarabangsa sedia ada, memanfaatkan inovasi dan teknologi serta mempertingkatkan akses kepada keadilan.
Kenyataan bersama itu juga merupakan antara hasil utama Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

