Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Negara Brunei Darussalam dan Jepun mengukuhkan lagi kerjasama khususnya dalam peralihan tenaga menerusi penandatanganan memorandum kerjasama yang dimeterai, baru-baru ini.
Majlis penandatanganan antara Jabatan Perdana Menteri (JPM) Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun bagi merealisasikan peralihan tenaga telah berlangsung di Bilik Persidangan Antarabangsa, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Jepun pada 15 Disember lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, menandatangani bagi pihak JPM ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Jepun diwakili oleh Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Tuan Yang Terutama Saito Ken.
Turut hadir semasa penandatanganan berkenaan ialah Timbalan Menteri (Urus tadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Awang Mohammad Nizam bin Haji Ismi dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Jepun, Tuan Yang Terutama Haji Shahbudin bin Haji Musa.
Selepas majlis penandatanganan berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan TYT Saito Ken mengadakan perjumpaan dua hala di mana kedua-dua pihak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas hubungan mesra dan erat antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun yang telah lama terjalin dalam bidang-bidang seperti ekonomi, perdagangan dan pelaburan serta tenaga.
Kedua-dua pihak juga berharap untuk memajukan lagi kerjasama tenaga melalui memorandum kerjasama yang telah ditandatangani dalam merealisasikan usaha-usaha peralihan tenaga kedua-dua buah negara.