Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Pengurusan yang berkesan dalam perkhidmatan awam memerlukan keupayaan dan ketangkasan dalam menangani cabaran-cabaran.
Dalam masa yang sama mengambil peluang yang dibawa oleh arus globalisasi yang telah memberikan impak kepada meningkatnya ekspektasi orang ramai kepada perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan oleh pihak kerajaan.
Perkara berkenaan ditegaskan oleh Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Ajman bin Haji Meludin semasa merasmikan Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-34 di Institut Perkhidmatan Awam (IPA), hari ini.
Beliau seterusnya menje-laskan, program berkenaan direka bersesuaian dengan keperluan untuk mengukuhkan kemahiran kepimpinan, meningkatkan kebolehan dalam pengurusan, pembentukan dasar dan meningkatkan pemikiran yang kritikal dan inovatif bagi pegawai-pegawai pengurusan pertengahan yang berpotensi.
Program berkenaan disertai oleh 30 orang peserta terpilih dengan tujuan untuk melengkapkan para peserta dalam menghadapi cabaran-cabaran dan mengambil peluang dalam era digital yang memerlukan para pemimpin yang lebih tangkas dalam merancang, mengambil tindakan serta membuat keputusan berkesan.

Ia diharap dapat melengkapkan para peserta untuk menjadi pemimpin yang berkebolehan dari pelbagai sudut termasuk untuk lebih peka dengan pemberian khidmat kepada perkhidmatan awam dan orang awam daripada golongan Milennial dan Gen Z yang tidak asing dalam penguasaan dan penggunaan aplikasi digital.
Beliau turut mengongsikan bahawa program berkenaan dilengkapi dengan pelbagai modul selaras dengan matlamatnya untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa, berprestasi tinggi dan sebagai pemacu perubahan dalam jentera pentadbiran negara.
Peserta program turut dinasihatkan untuk mengambil peluang berkenaan untuk memacu perubahan positif dengan mengenal pasti dan mengatasi isu-isu yang memerlukan penambahbaikan dalam organisasi masing-masing setelah menghadiri program ini.
Selain sentiasa berfikiran terbuka terhadap potensi penambahbaikan, mencabar status quo dan melaksanakan inovasi dan kreativiti dalam meneroka penambahbaikan-penambahbaikan yang akan dapat menyumbang kepada kemajuan organisasi masing-masing.
Dalam ucapan perasmian itu, Awang Ajman turut menyarankan agar peserta dapat memupuk mentaliti yang berwawasan, berorientasikan pelaksanaan iaitu untuk sentiasa mencari jalan penyelesaian yang akan membantu mencapai aspirasi dan matlamat yang disasarkan secara efektif.
“Hasil daripada pembelajaran, insights dan kolaborasi networking sepanjang
program ini, adalah diharapkan para peserta akan dapat menghasilkan impak yang positif dalam organisasi masing-masing khasnya dan perkhidmatan awam secara keseluruhannya,” jelasnya.
Antara objektif program berkenaan adalah untuk melengkapkan peserta dengan kemahiran yang diperlukan bagi mengetuai pasukan dalam menangani cabaran masa hadapan yang tidak menentu.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperkukuhkan keupayaan pemimpin masa depan bagi memenuhi keperluan orang ramai yang sentiasa berubah terutama pada zaman yang penuh gangguan daripada perubahan pesat global dan digital.
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Dr Awang Norfarizal bin Othman dan Pengarah IPA, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh.
EDPMMO merupakan salah satu komponen di bawah projek kumpulan pemimpin perkhidmatan awam yang diwujudkan bagi mendukung hasrat Wawasan Brunei 2035 melalui strategi pembangunan institusi dan program kali ke-34 berkenaan adalah yang kedua dikendalikan oleh IPA.

