Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kukuh kolaborasi tangani serangan siber

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku Menteri Bertanggungjawab Sekuriti Siber telah menghadiri Persidangan Menteri-menteri ASEAN bagi Sekuriti Siber (AMCC) ke-10 dan Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW) ke-10 di Republik Singapura, pada 20 hingga 23 Oktober.

    Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), AMMC ke-10 itu dipengerusikan oleh Menteri bagi Pembangunan Digital dan Maklumat dan Menteri Bertanggungjawab bagi Sekuriti Siber, Singapura, Puan Yang Terutama Josephine Teo.

    Mesyuarat berkenaan menghimpunkan menteri-menteri ASEAN bertanggungjawab bagi sekuriti siber untuk membincangkan keutamaan strategik dan kolaborasi serantau ke arah membina sebuah ekosistem digital dipercayai dan selamat.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary dalam kenyataannya menyatakan ASEAN termasuk Brunei, tidak imun kepada ancaman penjenayah siber yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan sistem dan peningkatan aktiviti pelaku-pelaku ancaman berterusan lanjutan (APT) serantau.

    Mengenali akan sifat ancaman yang saling berkaitan dan merentas sempadan, beliau menekankan pentingnya untuk mengukuhkan kerjasama, koordinasi, kolaborasi CERT-ke-CERT serta inisiatif-inisiatif pembangunan kapasiti serantau yang sedia ada.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bergambar ramai semasa Persidangan AMCC ke-10 dan SICW ke-10 di Republik Singapura, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN MTIC

    Menteri-menteri ASEAN bersama-sama menekankan pentingnya kerjasama serantau berterusan untuk menangani cabaran-cabaran sekuriti siber berubah yang berkembang dan canggih. Ia termasuk serangan berpandukan AI dan ancaman serangan siber berkuasa kuantum.

    Menteri-menteri ASEAN juga mengalu-alukan penubuhan Mekanisme Global PBB tetap bagi pembangunan dalam bidang ICT dalam konteks sekuriti antarabangsa dan memajukan sikap negara bertanggungjawab dalam penggunaan ICT, yang telah dipersetujui pada Julai lalu oleh UN Open-ended Working Group (OEWG) bagi sekuriti siber.

    Mekanisme baharu itu direka untuk melembagakan rundingan dan melaksanakan langkah-langkah berkaitan ancaman ICT, norma siber, pembinaan kapasiti serta penerapan undang-undang antarabangsa.

    Sementara itu, SICW ke-10 yang membawa tema, Membentuk Era Akan Datang Sekuriti Siber Global, dirasmikan oleh Menteri Penyelaras bagi Sekuriti Kebangsaan dan Menteri bagi Hal Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura, TYT K. Shanmugam.

    Semasa pembukaan pleno, Yang Berhormat Pengiran Dato mengambil bahagian sebagai ahli panel dalam panel peringkat tinggi yang membincangkan, Power Struggle in a Technopolar World: Big Tech and State Power.

    Panel berkenaan meneroka kuasa-kuasa asas yang memacu kepentingan kerajaan dan industri, yang membentuk dunia digital harian kita masa kini.

    Ia juga mengkaji bagaimana kita boleh bekerjasama secara kolektif untuk mengurus realiti baharu, menekankan keperluan untuk memupuk kerjasama berstruktur, prinsip dan perkongsian berasaskan nilai yang memenuhi matlamat pembangunan negara.

    Di luar SICW ke-10 dan AMCC ke-10, Yang Berhormat Pengiran Dato telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama PYT Josephine Teo, di mana kedua-dua menteri membincangkan cara-cara untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara Brunei dan Singapura dalam bidang pembangunan dasar keselamatan siber, infrastruktur digital dan teknologi baharu, terutamanya dalam menyokong agenda ekonomi digital kolektif ASEAN.

    Yang Berhormat Pengiran Dato telah diiringi oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Awang Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim bersama-sama para pegawai kanan dari MTIC dan Cyber Security Brunei (CSB).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda