Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Maktab Duli
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Dengan matlamat untuk mengukuhkan pembentukan nilai-nilai sahsiah diri pelajar yang boleh memartabatkan bangsa, bahasa, budaya dan negara, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, (Maktab Duli) Gadong mengadakan Sambutan Hari Melayu Islam Beraja (MIB) yang berlangsung di Auditorium Maktab Duli, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengetua Maktab Duli, Hajah Monaliza binti Haji Abdul Halim.
Turut menghadiri acara yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengajian Melayu itu ialah timbalan-timbalan pengetua, guru-guru kanan, Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Dr Hajah Norhana binti Haji Abdullah, pensyarah-pensyarah serta pelajar-pelajar Tingkatan Enam Bawah maktab berkenaan.
Acara sambutan dimeriahkan dengan persembahan pantun yang bertemakan MIB dan puisi yang berjudul ‘Mencari Titik’ hasil karya Zefri Arif Brunei yang dipersembahkan oleh para pelajar dari Kelab Badan Bahasa dan Sastera (BBDS) dan pelajar-pelajar MIB.
Pada majlis itu juga, Hajah Monaliza telah menyampaikan hadiah kepada 19 orang pelajar Tingkatan Enam Bawah bagi subjek MIB, hadiah video MIB terbaik dan sijil penghargaan kepada para pelajar yang mencapai kedatangan kuliah 100 peratus.
Penyelaras Program Pendidikan Kenegaraan MIB, Hajah Siti Afsah binti Haji Matassan menyatakan bahawa Maktab Duli telah melaksanakan Program Pendidikan Kenegaraan MIB bermula 2011.
Justeru itu, beliau berharap program itu akan terus dilaksanakan bagi mengukuhkan pembentukan nilai-nilai sahsiah diri pelajar yang boleh memartabatkan bangsa, bahasa, budaya dan negara.
