Wednesday, February 12, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kukuh peranan kepimpinan belia

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama Kolonel (B) Pengiran Haji Kamal Bashah bin Pengiran Haji Ahmad bagi pihak Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), bersama menteri-menteri belia Asia Komanwel yang bertanggungjawab terhadap pembangunan belia dan wakil dari Bangladesh, India, Malaysia, Maldives, Sri Lanka dan Pakistan telah menghadiri The Commonwealth Asia Regional Youth Ministers Meeting (CYMM) 2025 yang diadakan di Islamabad, Pakistan, baru-baru ini.

    Mesyuarat berkenaan adalah inisiatif daripada Sekretariat Komanwel, London, UK; Program Belia Perdana Menteri (PMYP), Pejabat Perdana Menteri, Pakistan; dan Majlis British di Pakistan.

    Mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi PMYP, Rana Mashhood Ahmad Khan itu dihadiri Perdana Menteri Republik Islam Pakistan, TYT Muhammad Shehbaz Sharif selaku tetamu kehormat.

    Objektif mesyuarat adalah untuk mengukuhkan peranan kepimpinan belia dalam menangani cabaran kritikal termasuk perubahan iklim, kemasukan digital dan ketidaksamaan sosioekonomi.

    CYMM juga diadakan untuk menyelaraskan keutamaan dasar serantau dengan matlamat pembangunan belia dan memastikan pelaksanaan yang berkesan hasil CYMM ke-10 dan Komitmen Marlborough House (MHC).

    Wakil dari Negara Brunei Darussalam hadir pada mesyuarat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    Gambar ramai delegasi yang hadir pada mesyuarat tersebut. – GAMBAR SERAHAN KKBS

    Semasa mesyuarat berkenaan, Brunei Darussalam menegaskan komitmennya untuk melibatkan dan mengiktiraf pencapaian belia Brunei melalui pendekatan seluruh negara, dengan melibatkan mereka sebagai ejen dalam agenda kebangsaan dan serantau, terutamanya dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Wawasan Brunei 2035.

    Brunei Darussalam berkongsi status pembangunan belianya yang diukur melalui peningkatan signifikan dalam skor Indeks Pembangunan Belia (YDI). Menurut Laporan Kemas kini Global YDI 2023, Brunei Darussalam menduduki tempat ke-27 di dunia dan kelima di Komanwel dengan skor 0.810, meningkat enam tempat sejak 2020.

    Semasa mesyuarat, Brunei Darussalam juga membentangkan kemajuan pelaksanaan Resolusi Menteri CYMM ke-10 dan MHC, yang merangkumi dasar dan legislatif belia negara, penyertaan dan penglibatan belia, penyertaan sosial dan kesaksamaan, perlindungan kanak-kanak dan belia, pendidikan inklusif dan dapat diakses, peluang pekerjaan dan ekonomi, alam sekitar dan SDG serta Dasar Koheren dan Perkongsian.

    Brunei Darussalam menekankan bahawa komitmen-komitmen berkenaan sejajar dengan Dasar dan Strategi Sektoral Brunei Darussalam dalam Pembangunan Belia, Pendidikan, Ekonomi Digital; dan SDG.

    Hasil mesyuarat tersebut, para menteri telah menerima pakai Deklarasi Islamabad mengenai Pembangunan Belia dan menegaskan semula komitmen mereka untuk memperkasa golongan belia, memupuk penglibatan mereka yang bermakna dalam proses membuat keputusan, dan menangani cabaran yang mungkin dihadapi oleh golongan belia di seluruh rantau serta menegaskan penubuhan CAYA sebagai platform penting untuk memperkukuh suara belia dan sebagai titik tumpuan untuk meningkatkan kerjasama di kawasan Asia Komanwel.

    Mesyuarat tersebut juga mencatatkan hasil sesi CAYA yang dihadiri oleh pemimpin belia dari rantau Asia Komanwel yang menyaksikan pelancaran Pelan Strategik CAYA dan pembentangan pelan tindakan setiap negara oleh pemimpin belia.

    Pada akhir mesyuarat, para menteri seterusnya merasmikan pembukaan Pejabat Sekretariat CAYA di Pusat Persahabatan Pak-China di Islamabad.

    Mengiringi TYT Kolonel (B) Pengiran Haji Kamal Bashah ialah Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, KKBS, Dayang Zainab binti Haji Morshidi, pegawai kanan KKBS dan dua perwakilan belia dalam kapasiti mereka sebagai wakil negara di Majlis Belia Komanwel untuk Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda