Monday, August 15, 2022
23 C
Brunei

Kukuh peranan penyelidikan demi perkembangan pendidikan

-

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Pendidik telah mengadakan Seminar Pakar Pendidikan ke-2 yang berlangsung dua hari bermula hari ini, secara maya dan fizikal di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Lebih kurang 500 orang telah hadir secara fizikal, manakala itu, lebih kurang 400 orang jemputan lain telah mengikutinya secara maya.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

Seminar bertujuan untuk memperkukuhkan peranan penyelidikan dalam kalangan pendidik dan pihak berkepentingan demi pembangunan dan penambahbaikan sistem pendidikan.

Selain itu, seminar tersebut dijadikan untuk mengukur perhubungan antara kurikulum, pengajaran, penilaian dan teknologi pendidikan, serta kaitannya dengan kerangka penilaian pendidikan dalam menggunakan data penilaian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebagai rujukan.

Antara peserta yang menghadiri seminar pada majlis pembukaan yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.
Dayang Masdiah semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Tema pada tahun ini ialah ‘Pengkhususan Kontemporari dalam Amalan Pendidikan ke arah Kecemerlangan Pendidikan’ dengan sub tema memfokuskan kepada ‘Penilaian Pendidikan dan Perkembangan Penyelidikan ke arah Kecemerlangan Pendidikan’.

Majlis telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Dayang Masdiah binti Haji Tuah selaku pengerusi Jawatankuasa Seminar Pakar Pendidikan 2022.

Kemudian, majlis diikuti dengan ucapan tetamu kehormat majlis sebelum perasmian seminar.

Seminar diteruskan dengan pembentangan ucaptama bertajuk ‘Educating Learners for their Future – Not Our Past’, secara maya oleh Pengarah Pendidikan dan Kemahiran serta Penasihat Khas Dasar Pendidikan kepada Ketua Setiausaha di Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Dr Andreas Schleicher.

Ini ikuti dengan sesi soal jawab yang dimudah cara oleh pensyarah undangan dari Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, UBD, Dr Desmond Tan Chia Chun.

Sesi sebelah petang dimulakan dengan Sesi Dialog Ketua-ketua Jabatan bersama Pakar Pendidikan dan dimudah cara oleh Ketua Unit Kepimpinan Sekolah, Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), Jennifer Wong Yok Ting, dan diteruskan dengan pengesahan bagi kompetensi pengkhususan yang akan dijadikan Kerangka Kerja Kompetensi Pakar Pendidikan Brunei Darussalam (BDESCF).

Seminar akan diteruskan lagi esok dengan beberapa sesi perkongsian oleh pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan, BDLTA dan pembentangan projek penyelidikan oleh pakar pendidikan.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Lelaki lepas 5 das tembakan di lapangan terbang ditahan

SYDNEY, 14 OGOS – Seorang lelaki bersenjata melepaskan lima das tembakan di lapangan terbang utama Canberra hari ini, menyebabkan penumpang melarikan diri tetapi tidak...
- Advertisment -