Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Dengan perubahan teknologi yang pesat, landskap ancaman siber juga terus berubah, sehubungan itu, organisasi dan individu perlu terus mengukuhkan pertahanannya dan mengguna pakai langkah-langkah sekuriti proaktif untuk mengurangkan risiko berkenaan.
Ia melibatkan pelaksanaan pelbagai langkah termasuk penggunaan teknologi ancaman balas, proses dan dasar, memastikan kerahsiaan, integriti serta keberadaan sistem dan maklumat yang kita perlukan dalam kehidupan seharian.
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam amat komited untuk memastikan persekitaran digital yang berdaya tahan dan selamat bagi semua warganya dan perniagaan.
Ia mengenal pasti bahawa sebuah ekosistem sekuriti siber yang kuat melibatkan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, ahli akademik dan setiap individu, amat mustahak dalam mencapai matlamat itu, tekan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat
Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Mustapha dalam ucaptama pada Persidangan Sekuriti Siber Brunei 2023 yang berlangsung di Tarindak D’Seni, Bandar Seri Begawan, hari ini.
“Ia juga melibatkan mempromosikan keperluan bagi dan pentingnya sekuriti siber di Negara Brunei Darussalam,” tambahnya.
Perintah Sekuriti Siber Brunei Darussalam (CSO) 2023, ulas Yang Berhormat Pengiran Dato telah digubal pada awal tahun ini di mana perintah itu menekankan komitmen untuk melindungi infrastruktur maklumat kritikal (CII) Brunei, bagi perkhidmatan mustahak baik untuk kerajaan atau bukan kerajaan yang berkaitan kepada, antara lain, sekuriti kebangsaan, ekonomi, kesihatan awam, keselamatan awam atau ketenteraman awam.
Perintah itu juga mengukuhkan lagi peranan asas Cyber Security Brunei (CSB) selaku agensi sekuriti siber kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Perintah itu memperuntukkan CSB untuk mengenal pasti, menetapkan CII di dalam negara dan untuk mengawal selia pemilik-pemilik CII berkenaan.
Ke arah itu dan selaras dengan tema persidangan iaitu Securing Our Digital Frontier: Navigating Cyber Challenges, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary berkata, CSB akan membantu organisasi-organisasi untuk mengemudi perintah berkenaan dengan menerbitkan Code of Practice for CII dan Garis Panduan bagi Mengendalikan Penilaian Risiko dan Audit bagi CII.
Garis panduan berkenaan akan menetapkan standard bagi kerangka sekuriti siber kita dan memudahkan pelaksanaan CSO sambil kita berusaha menjana sebuah persekitaran digital yang lebih selamat.
Pada masa yang sama, beliau juga mengambil maklum akan persediaan yang diambil bagi Perintah Perlindungan Data Peribadi (PDPO) Brunei Darussalam yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) dengan bantuan Pejabat Peguam Negara yang berjalan dengan baik.
Ia merupakan sebuah inisiatif selaras yang akan menyumbang kepada sebuah ekosistem digital yang lebih berdaya tahan dan mantap di Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary seterusnya menyatakan bahawa antara ancaman sekuriti siber yang sering kali membimbangkan orang ramai adalah kejuruteraan sosial atau dalam kata lain, aktiviti penipuan dalam talian di mana teknik itu memanipulasikan tingkah laku manusia untuk menipu individu supaya mendedahkan maklumat sulit mereka seperti kata laluan atau keterangan kewangan.
Penipuan dan aktiviti-aktiviti jenayah siber yang lain, tegasnya lagi, sedang meningkat bukan sahaja di Negara Brunei Darussalam tetapi juga di rantau ini di mana isu berkenaan amat membimbangkan serta menjadi tanggungjawab kita untuk menanganinya secara aktif sambil terus kekal berjaga-jaga dalam usaha kolektif untuk melindungi ekosistem digital kita.
Walaupun kempen kesedaran awam telah dilaksanakan oleh pelbagai agensi dari semasa ke semasa untuk menangani ancaman berkenaan, adalah bertepatan waktunya bagi sebuah pendekatan bersepadu dilaksanakan.
Ia adalah untuk mendorong sebuah pendekatan yang lebih berkesan sambil tangkas dan muda menerima tingkah laku serta trend siber masa kini.
Dalam hubungan itu, beliau amat gembira untuk mengambil maklum bahawa pelbagai agensi dan pihak berkepentingan telah bekerjasama untuk menubuhkan sebuah platform untuk menangani jenayah-jenayah yang dibantu-siber atau diperboleh-siber.