Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Negara Brunei Darussalam menyedari akan pentingnya biodiversiti dan keperluan untuk memulihara serta memeliharanya, menyediakan barangan dan perkhidmatan yang akan mempengaruhi pertumbuhan mapan serta mencapai potensi ekonomi.
Walaupun 72 peratus kawasan tanah Brunei diliputi hutan hujan tropika, hutan tanah gambut dan ekosistem hutan paya, negara mengetahui bahawa mengekalkan hutan-hutan berkenaan dalam mencapai pembangunan ekonomi merupakan satu cabaran yang besar tetapi negara percaya melalui inovasi dan perkongsian ilmu pengetahuan berkaitan amalan-amalan terbaik serta juga inisiatif-inisiatif yang berjaya, usaha itu akan dapat dicapai.
Perkara itu dikongsi oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dalam intervensi yang disampaikan semasa Persidangan Biodiversiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Segmen Peringkat Tinggi secara persidangan video, hari ini.
Beliau dalam intervensinya lagi, menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam selaku pengerusi ASEAN 2021, bagi mewakili ASEAN berkata bahawa biodiversiti dan perkhidmatan ekosistemnya yang berkaitan menyediakan pelbagai peluang bagi pembangunan ekonomi dan mata pencarian, menyumbangkan kepada pembasmian kemiskinan, teknologi dan inovasi, bertindak sebagai langkah mitigasi dan penyesuaian yang efektif menentang kesan perubahan iklim dan bencana alam serta amat penting dalam membina daya tahan menentang pandemik dan peningkatan zoonosis dan penyakit baharu serta yang baru muncul seperti yang dikumpulkan dari Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN dan pendekatan One Health.
Dengan itu, jelasnya lagi, negara-negara anggota ASEAN telah bersetuju, antara lain untuk mengukuhkan usaha serantau bagi kawasan-kawasan dilindungi khususnya memperbaiki lagi keberkesanan pengurusan bagi taman-taman warisan ASEAN menerusi penyelidikan, pemindahan, inovasi, meningkatkan kapasiti dan memanfaatkan strategi-strategi pembiayaan yang mampan.
Semua itu, tambah beliau, adalah konsisten dengan seruan ASEAN bagi pihak-pihak CBD dan kerajaan lain untuk membangunkan GBH pasca 2020 yang akan memulihara dan memulihkan ekosistem utama dengan tindakan yang kukuh bagi mengekang kepupusan spesies, memperbaiki keberkesanan pengurusan kawasan-kawasan dilindungi, mempromosikan penggunaan mampan serta memastikan perkongsian manfaat yang secara adil dan saksama daripada penggunaan sumber-sumber genetik.
Selain itu, beliau berkata bahawa langkah-langkah seperti tindakan transformatif, mengarusutamakan biodiversiti merentas pelbagai sektor pembangunan dan pengurusan mampan ekosistem termasuk melalui pendekatan berasaskan ekosistem, penyelesaian berasaskan alam semula jadi serta penyertaan dan sumbangan kerajaan setempat, sektor swasta, wanita dan belia adalah beberapa langkah yang dikenal pasti oleh Kenyataan Bersama ASEAN sebagai langkah-langkah ke hadapan.