Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kukuhkan akidah berasaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Dalam manfaatkan kapasiti masing-masing untuk mengembang majukan negara dan menguatkan lagi perpaduan negara, setentunya bijak menyampaikan signal (isyarat) di luar Dewan Majlis kepada rakyat dan orang ramai bahawa Majlis Mesyuarat Negara (MMN) adalah sebahagian daripada lembaga pemerintahan negara yang dinamik, tidak statik, namun akan sangat berhati-hati berkembang menurut tahap-tahap yang sihat berkebajikan, selamat dan aman, dengan sentiasa berpaksikan perpaduan antara kerajaan berpemerintahan beraja dengan rakyat seperti sifat dan hakikatnya yang dinyatakan itu.

    Dalam hubungan ini, sistem pemerintahan negara sebagaimana menurut perlembagaan, baik Perlembagaan Negeri Brunei 1959 dan Perlembagaan Negara Brunei Darussalam (Pindaan), 2004 yang Syariah Compliance kerana itu tidak ragu untuknya berkembang dengan semangat musyawarah seperti yang jelas ketara dalam peruntukan-peruntukan di dalam perlembagaan itu.

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menyatakan perkara itu semasa menyampaikan ucapan penangguhannya pada hari terakhir Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-20 MMN yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.

    Mengenai perkara itu, Yang Berhormat Pehin menaruh harapan agar pusat-pusat pengajian tinggi negara ini akan berperanan memberikan kefahaman ilmiah meliputi undang-undang dan sejarah ketatanegaraan meliputi sudut-sudut kenegaraan Brunei, negara Melayu Islam Beraja (MIB) yang merdeka berdaulat demokratik bersendikan agama Islam menurut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    Ini dengan mengajarkan ilmu ketatanegaraan iaitu undang-undang perlembagaan dan syariahnya berserta sejarahnya, tidak semata-mata semboyan tentang MIB tapi lupa bahawa ia adalah negara berdaulat merdeka, demokratik bersendikan ajaran Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah yang seolah-olah hakikat ini kita tidak menyebutnya.

    “Maka huraikanlah apa demokratiknya itu yang disebut secara demokratik berdasarkan agama Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah diajarkan secara ilmiah dan untuk menjadi pegangan yang kuat bagi rakyat terutama sekali yang berpendidikan tinggi dan kesannya ialah kepada masyarakat biasa,” ujarnya.

    Yang Berhormat Pehin juga menyebut ringkas mengenai peranan yang boleh dimanfaatkan oleh pihak-pihak eksekutif iaitu kementerian-kementerian daripada keahlian ahli-ahli Yang Berhormat yang dilantik menurut kategori masing-masing, sebagaimana juga diisyaratkan dalam titah perasmian MMN baru-baru ini.

    Dalam ucapan penangguhan berkenaan, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama turut berkata, beliau dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Majlis Ugama Islam Brunei akan menyertakan beberapa ahli Yang Berhormat dalam beberapa jawatankuasa yang ada kaitannya dengan orang ramai iaitu bidang zakat, wakaf dan baitulmal; bidang haji dan umrah; bidang hal ehwal masjid, bidang-bidang pelajaran ugama, dan bidang dakwah.

    Terdahulu, Yang Berhormat Pehin berkesempatan melahirkan ucapan tahniah kepada Yang Di-Pertua MMN yang memang diketahui berkewibawaan memimpin sesi-sesi permesyuaratan majlis ini, iaitu MMN yang merupakan medan untuk melahirkan pendapat dan buah fikiran yang membina oleh para ahli sebagaimana disebut dan direkodkan sebagai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sempena majlis pembukaan rasmi mesyuarat ini pada 27 Februari lalu.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa persidangan berkenaan. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda