Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kukuhkan akidah hadapi ajaran sesat

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Akidah Ahli Sunnah Waljamaah pegangan masyarakat lslam di negara ini memberikan impak yang positif dalam menyatupadukan ummah dan memelihara keharmonian bermasyarakat dan menjamin kestabilan negara.

    Sungguhpun fahaman Ahli Sunnah Waljamaah bertapak dengan kukuh di Negara Brunei Darussalam, namun negara ini tidak terlepas daripada ancaman dan cabaran terhadap akidahnya.

    Ketua Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Ahmad Haziq bin Haji Abdul Hamid menjelaskan, ancaman ini datang daripada pelbagai sudut termasuk ajaran-ajaran sesat, aliran-aliran baru yang ekstrem, amalan-amalan khurafat dan sebagainya.

    Dari itu, tekan beliau, untuk mengelak diri daripada terjerumus atau terpengaruh dengan ajaran sesat, perlu difahami dan kenali apakah ciri-ciri ajaran sesat itu, antaranya menyalahi prinsip sumber perundangan Islam, mendakwa mendapat wahyu daripada malaikat dan mengaku sebagai nabi, mencampuradukkan amalan agama dengan perkara maksiat dan banyak lagi.

    Beliau mengetengahkan perkara ini semasa menyampaikan tazkirah subuh bertajuk ‘Kenali Ajaran Sesat’ pada Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini.

    Program mingguan tazkirah subuh kali ini mengetengahkan tajuk ‘Kenali Ajaran Sesat’ yang disampaikan oleh Awang Ahmad Haziq.

    Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Pemangku Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.

    Program kelolaan KHEU melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Dakwah Islamiah dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam dengan kerjasama Masjid Omar ’Ali Saifuddien itu merupakan program mingguan dan ajakkan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu di masjid.

    Ia turut memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara Bandarku Ceria, memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.

    Kehadiran jemaah memakmurkan rumah Allah diharapkan akan dapat menghidupkan amalan sunnah Baginda Rasulullah S.A.W dan dapat menimbulkan rasa persamaan di antara umat Islam dalam melaksanakan sembahyang berjemaah dan amal ibadat bersama-sama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda