Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kukuhkan hubungan serantau melalui seni, persefahaman budaya

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Inisiatif pertukaran budaya Neighbours in Heart, Friendship in Art yang menghimpunkan seniman dari Negara Brunei Darussalam dan Sarawak melabuhkan tirainya dengan kejayaan di Muzium Budaya Borneo Sarawak.

    Program yang berlangsung selama beberapa hari itu menampilkan pelbagai aktiviti seni visual, puisi dan bengkel kreatif, dengan matlamat mengukuhkan hubungan serantau melalui seni dan persefahaman budaya.

    Majlis pelancaran rasmi telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Tuan Yang Terutama Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, yang turut menekankan pentingnya seni dalam strategi pelancongan dan integrasi budaya Borneo.

    Antara sorotan program ialah sesi wacana seni bertajuk Lines of Growth: An Artist’s Evolution yang mempertemukan seniman terkenal dari Brunei dan Sarawak, termasuk Sebastian Jong, Angelina Bong, Fook Liew, Dato Haini bin Haji Hashim, Awang Sitai dan Nicky Lapira, dikendalikan oleh Osveanne Osman dari Brunei. Mereka berkongsi perjalanan seni peribadi yang dipengaruhi oleh pengalaman hidup dan konteks budaya masing-masing.

    Turut diadakan bengkel lukisan oleh seniman Brunei, Pengiran Wahab Hassan, melibatkan 20 peserta yang mempelajari teknik warna dan tekstur menggunakan pisau palet, serta sesi puisi menyentuh hati bersama penyair Brunei, Awang Malek Metarsat dan Awang Adi Zain, serta Angelina Bong dari Sarawak.

    Pameran itu menarik 4,624 pengunjung sepanjang berlangsung, dengan purata harian antara 534 hingga 854 orang mencerminkan sambutan hangat masyarakat terhadap seni dan budaya.

    Presiden Persatuan Seniman Sarawak, Sebastian Jong, menyifatkan program itu sebagai platform bermakna untuk apresiasi bersama dan hubungan jangka panjang. Timbalan Presiden Forum Seni Brunei, Haji Osman Haji Muhammad, turut menyatakan kepuasan terhadap hasil dialog dan jaringan yang terbina.

    Seniman Brunei, Dato Haini, menekankan bahawa seni adalah jambatan kemanusiaan yang menyatukan, manakala Angelina Bong pula menyatakan rasa terinspirasi melalui pengalaman bersama komuniti seni serantau.

    Pertukaran Budaya Brunei–Sarawak membuktikan bahawa seniman bukan sekadar pencipta, tetapi duta budaya yang mampu menjalin diplomasi melalui ekspresi kreatif membentuk jalinan yang merentas sempadan geografi dan menyuburkan semangat Borneo yang bersatu dalam seni.

    TYT Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah melawat pameran seni secara lebih dekat. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara peserta yang mengikuti bengkel lukisan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda